AFC Dakwa Presiden FIFA Menipu
MakanBola
FAM/AFC

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendakwa Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menipu tentang pembatalan pelan kontroversi Piala Dunia.

Pendirian tegas AFC itu dizahirkan dalam satu surat terbuka yang dibuat badan induk itu, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean (CONCACAF).

Ketiga-tiga badan induk itu melihat Infantino telah mengabaikan tugasnya dengan menipu berhubung pelan menjual sebahagian kepentingan Piala Dunia kepada pelabur luar.

AFC, CONCACAF dan UEFA turut membidas FIFA kerana tidak mengambil serius kebimbangan negara ahli (MA) dan badan-badan bola sepak benua. Hal ini dinyatakan dengan FIFA menganggap pembatalan pelan kontroversi Piala Dunia disebabkan oleh kesilapan prosedur dan bukan mengakui ia satu kesilapan.

“Surat FIFA baru-baru ini kepada Naib Presiden dan 211 Persatuan Ahli mengakui bahawa kesilapan telah dibuat dalam proses tersebut. FIFA menganggap ini sebagai kegagalan komunikasi, sedangkan apa yang disaksikan oleh bola sepak ialah kegagalan dari segi pertimbangan,” kata ketiga-tiga badan itu dalam satu kenyataan.

“Cadangan yang dikemukakan mengikut garis masa yang singkat, tanpa perundingan yang bermakna dan ditolak ke tarikh akhir sebelum MA dapat menyemak semula syarat dengan betul bukanlah hasil daripada kecuaian — ia hasil daripada reka bentuk yang bertujuan untuk mengehadkan penelitian.

“Badan itu tidak mengakui bahawa cadangan itu sendiri secara semula jadi salah. Masih tiada pengakuan bahawa (tindakan) cuba menjual kepentingan dalam Piala Dunia FIFA ialah satu kegagalan membuat pertimbangan dengan betul — bukan sekadar kesilapan prosedur tetapi pelanggaran kepercayaan asas dalam institusi di mana FIFA wujud untuk berkhidmat.”

Susulan itu, AFC, CONCACAF dan UEFA menggesa satu siasatan dibuat oleh badan ketiga yang bebas tentang pelan kontroversi Piala Dunia yang dibocorkan baru-baru ini.

Ketiga-tiga badan itu turut mengecam mesyuarat yang dibuat Infantino bersama staf pengurusan FIFA di Rabat, Maghribi baru-baru ini. Ini kerana mesyuarat tersebut langsung tidak membabitkan MA atau ahli-ahli Majlis FIFA.

AFC, CONCACAF dan UEFA melihat mesyuarat tersebut sebagai bukti Infantino memilih untuk tidak bersikap terbuka susulan pelbagai kontroversi yang melanda badan induk tersebut.

Surat terbuka itu ditandatangani Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ibrahim Al-Khalifa dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John. CONCACAF pula diwakili presiden badan induk itu, Victor Montagliani dan setiausaha agungnya, Philippe Moggio.

Presiden UEFA, Aleksandar Ceferin dan Setiausaha Agung UEFA, Theodore Theodoridis pula mewakili badan induk bola sepak Eropah itu.