Laman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meletakkan pemain sayap Malaysia, Arif Aiman Hanapi sebagai prospek terbaik negara menjelang sepak mula Piala Asia 2023.
Pemain berusia 21 tahun itu menjadi tumpuan selepas mengharungi musim yang cukup cemerlang pada peringkat kelab dan juga antarabangsa.
Beliau telah membantu JDT untuk memenangi 4 trofi buat tahun kedua berturut-turut sambil memastikan kecemerlangan Harimau Malaya di pentas Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia ini menjadi bualan hangat selepas membantu skuad kebangsaan menundukkan Kyrgyzstan menerusi satu kebangkitan dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil.
AFC melabel Arif sebagai salah seorang bintang yang sedang meningkat naik di Asia Tenggara ketika ini.
Sebelum ini, laman FIFA telah meletakkan beliau dalam kelompok 5 pemain Asia yang perlu diberi perhatian di pentas berprestij tersebut.
Statistik juga membuktikan bahawa Arif cukup efisien di atas padang dengan merekodkan 6 jaringan dan 5 bantuan jaringan bersama Malaysia tahun ini.

Pemain sayap lincah ini juga baru sahaja dinobatkan sebagai pemain muda terbaik bagi perlawanan ke-6 di Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
Kecemerlangan Arif sudah pasti menjadi sandaran Kim Pan-gon tatkala Malaysia diundi berdepan Korea Selatan, Bahrain dan Jordan di Piala Asia.