Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berpotensi menambah bilangan pasukan yang bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) daripada 24 kepada 32 pasukan.
ASEAN Football melaporkan syor tersebut kini dalam pertimbangan badan induk bola sepak Asia itu.
Sekiranya syor tersebut menjadi kenyataan, ini akan menambah bilangan pasukan yang beraksi di benua Asia termasuk Malaysia.
Buat masa ini, bilangan pasukan yang bersaing di peringkat ACLE ditentukan oleh ranking MA AFC. Malaysia ketika ini di tangga keenam yang menawarkan satu slot kelayakan ke ACLE.
Slot ACLE Malaysia diberi kepada juara Liga Super. Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa cabaran negara di pentas kejohanan itu musim ini selaku juara bertahan liga.
Ini bukan kali pertama saingan bola berprestij di Asia itu menyaksikan kehadiran 32 pasukan elit benua berkenaan.
Sebelum ini, saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menyaksikan pertambahan 28 pasukan kepada 32 pasukan untuk kejohanan edisi 2009.
Bilangan pasukan itu kekal selama 12 musim sebelum ditambah kepada 40 pasukan untuk musim 2021.