AFC Tangguh Perlawanan ACLE Di Asia Barat
MakanBola
Al-Hilal SC

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengambil langkah menangguhkan semua perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) Wilayah Barat.

Keputusan ini dibuat AFC susulan perang yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran pada 28 Februari lalu.

“Dengan mengambil kira keadaan yang sedang berlaku di Timur Tengah, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan bahawa perlawanan pertama pusingan 16 ACLE Wilayah Barat yang pada asalnya dijadualkan pada 2–3 Mac 2026, kini akan dijadualkan semula,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

AFC turut memaklumkan aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Liga Cabaran AFC (ACGL) untuk wilayah sama juga ditangguhkan.

Perlawanan ACLE, ACL2 dan ACGL Wilayah Timur pula diteruskan seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan.

AFC turut memaklumkan badan induk itu akan memantau perkembangan semasa dan sentiasa mengutamakan keselamatan pasukan, pemain, pegawai dan penyokong.