Skuad Iraq Bawah 23 Tahun (B-23) menghidupkan peluang mara ke suku akhir Piala Asia B-23 2024 dengan membelasah Tajikistan 4-2.
Selepas tewas mengejut kepada Thailand 2-0 beberapa hari lalu, Singa Mesopotamia perlu menang untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
Tajikistan juga berdepan misi hidup mati yang sama selepas tewas 4-2 kepada Arab Saudi pada awal pagi 17 April.
Babak pertama menyaksikan Iraq yang dibimbing Radhi Shenaishil tampil garang memburu gol pendahuluan. Hasilnya, mereka membuka tirai jaringan menerusi Muntadher Mohammed pada minit ke-14.
The Crown terus bernasib malang apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada Singa Mesopotamia pada minit ke-22.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Ali Jasim Elaibi yang menewaskan penjaga gol Vaksh, Akhlidin Khabibullaev.
Tajikistan memastikan kedudukan 2-1 sehingga rehat separuh masa selepas Rustam Soirov menyempurnakan penalti pada minit ke-54.
Bersambung pada babak kedua, Radhi memasukkan Hassan Khalid menggantikan Muntadher bagi menambah kreativiti di bahagian tengah.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila giliran Hassan pula mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-56.
Seorang lagi pemain gantian Iraq, Karrar Saad Mohsin Al-Kinani melengkapkan malam gemilang mereka dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-87.
Penyerang Istiklol, Mekhrov Madadinov menambah satu lagi gol The Crown bagi menjadikan keputusan 4-2 pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Iraq menduduki tempat kedua Kumpulan C meskipun berkongsi tiga mata dengan Thailand. Ini kerana pasukan itu memiliki kelebihan dari segi jaringan.
Singa Mesopotamia perlu menang ke atas Arab Saudi pada 22 April sekiranya ingin layak ke suku akhir. Sementara Tajikistan yang sudah tersingkir selepas tewas dua perlawanan bakal menentang Thailand pada hari yang sama.