Uzbekistan tidak berdepan masalah sebagai pasukan pilihan untuk melepasi peringkat kumpulan AFC U-23 Asian Cup apabila mudah membelasah Kuwait pada Sabtu.
Uzbekistan yang merupakan naib juara edisi 2022 turun dengan misi meraih tiga mata sekaligus mengiringi Vietnam yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke suku akhir sebagai wakil kumpulan D.
Kuwait pula ingin bangkit dari kekalahan perit 1-3 di tangan Vietnam pada perlawanan pertama lalu meskipun sedar bakal berdepan ujian sukar daripada jaguh Asia Tengah tersebut.
Anak-anak buah Timur Kapadze berjaya membuka tirai jaringan setelah setengah jam beraksi menerusi tandukan deras pertahanan tengah, Alibek Davronov untuk meletakkan Uzbekistan mendahului di Stadium Al Janoub.
Permainan jelas didominasi oleh The White Wolf dengan deretan percubaan dan peluang untuk membolosi gawang Kuwait, namun begitu tiada jaringan tambahan dapat dihasilkan sehingga rehat.
Separuh masa pertama tamat, Kuwait 0-1 Uzbekistan.
Kembali dari rehat, Uzbekistan tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan menerusi seorang lagi pertahanan, Mukhammadkodir Khamraliev empat minit bersambung babak kedua.
Enam minit kemudian, Khozimat Erkinov terus menambah duka Kuwait dengan gol ketiga pasukan sekaligus meletakkan Uzbekistan selesa di depan dengan keputusan 3-0.
Usaha Kuwait untuk bangkit memberi saingan tampak bertambah sukar setelah Hamad Al Taweel dilayangkan kad merah beberapa minit setelah beliau dimasukkan oleh jurulatih, Emiliano Peixe.
Kelebihan beraksi menentang 10 orang pemain dimanfaatkan sepenuhnya Uzbekistan untuk meledak gol keempat Diyor Khalmatov yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86.
Penyerang pasukan, Khuisain Norchaev melengkapkan kemenangan besar Uzbekistan ke atas Kuwait dengan gol pada masa kecederaan meskipun gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum itu.
Aksi di Stadium Al Janoub berakhir dengan keputusan 5-0 memihak Uzbekistan.
Kemenangan ini meletakkan Uzbekistan di tangga pertama kumpulan dengan enam mata, berkongsi mata bersama Vietnam manakala Kuwait terperosok di tangga tercorot setelah gagal meraih mata dalam dua perlawanan.
Perlawanan terakhir kumpulan D bakal menemukan Vietnam dan Uzbekistan bagi menentukan juara serta naib juara kumpulan pada 23 April manakala Kuwait akan menamatkan aksi berdepan Malaysia pada hari yang sama.