Satu perancangan menarik dan mengujakan bakal menanti penyokong dan pasukan Harimau Malaya pada September hadapan.
Pasukan Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski baru sahaja selesai mengharungi ujian getir menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil pada Selasa.
Pada aksi itu, skuad negara beraksi cemerlang di hadapan lebih 60 ribu penonton dengan melakar kemenangan 4-0 hasil gol daripada Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools.
Dengan dua kemenangan pada aksi Kelayakan Piala Asia ini, fokus sudah pastinya tertumpu kepada perancangan skuad negara pada tempoh aksi antarabangsa FIFA seterusnya di bulan September 2025.
Untuk makluman pada tempoh tersebut, tiada perlawanan Kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung dan memberi peluang buat semua negara mengatur rancangan tersendiri.
Menurut jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, tempoh antarabangsa FIFA di bulan September nanti bakal digunakan bagi membina kembali momentum pasukan dengan bertemu lawan yang kuat.
”Kami teruja tentang bulan September akan datang. Sedia maklum tiada perlawanan Kelayakan Piala Asia.”
“Akan tetapi, kami akan gunakan tempoh itu untuk mencabar diri dan sudah tentunya membina semula permainan dengan menentang pasukan yang kuat,” katanya ketika sidang media selepas aksi bertemu Vietnam.
Tambah Cklamovski lagi, segala pelan Harimau Malaya sudah diatur dan disahkan namun makluman lanjut mengenai berita mengujakan ini akan diberitahu oleh pihak pengurusan nanti.
”Pihak pengurusan pasukan kebangsaan akan umumkan apa yang kami akan buat nanti. Bukan tugas saya untuk beritahu sekarang tetapi segalanya sudah dimuktamadkan.”
”Semua orang akan berasa teruja kerana ini akan menjadi cabaran sukar yang akan menguji kami sekali lagi,” tambah jurulatih kelahiran Australia itu.
”Kami ingin terus meningkatkan prestasi kerana ini akan satu tahap lagi dan bersedia untuk tempoh yang mencabar pada Oktober nanti.”
Pada bulan Oktober hadapan, pasukan Harimau Malaya akan berdepan tugas getir dengan bermain di tempat lawan untuk kali pertama dalam aksi Kelayakan Piala Asia berdepan Laos.
Laos dan Malaysia akan bertemu dua kali pada Oktober nanti dengan aksi di laman lawan terlebih dahulu pada 9 hari bulan sebelum balik ke Kuala Lumpur untuk perlawanan seterusnya 5 hari kemudian.