Air Mata Raul Jimenez Gugur Demi Mexico
MakanBola
FIFA World Cup

Tidak ramai sedar air mata Raul Jimenez yang gugur selepas menjaringkan gol kedua Mexico ketika menentang Afrika Selatan mempunyai makna yang tersendiri.

Penyerang baharu Wolverhampton Wanderers itu menanduk gol kedua Mexico bagi memastikan tuan rumah Piala Dunia 2026 itu meraih kemenangan 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan A.

Air mata yang gugur bukan saja mengiringi keraian beliau yang mengenang mendiang bapanya, Raul Jimenez Vega yang meninggal dunia pada Mac lalu. Malah, ia juga melambangkan kebangkitan semula Jimenez selepas mengalami kecederaan serius di kepala enam tahun sebelumnya.

Memulakan karier di kelab Mexico, America, beliau kemudiannya berkelana ke Atletico Madrid dan Benfica. Musim 2018/19 menyaksikan Jimenez berkelana ke Wolves secara pinjaman sebelum menyertai kelab secara tetap pada musim berikutnya.

Selepas menjaringkan 30 gol liga buat Wolves, segalanya berubah pada 29 November 2020. Jimenez mengalami kecederaan serius di kepala akibat pelanggaran dengan bek tengah Arsenal ketika itu, David Luiz.

Beliau menjalani proses pemulihan yang perlahan dan tidak dibenarkan berlatih bersama rakan-rakan sepasukan selama enam bulan. Jimenez tidak beraksi untuk Wolves selama lapan bulan sebelum menjaringkan gol untuk pasukan itu ketika menentang Southampton pada September 2021.

Susulan itu, Jimenez masih memakai cekak rambut khas setiap kali bermain. Meskipun begitu, ketabahan dan kesungguhan beliau untuk kembali bermain cukup mengagumkan – satu perkara yang disedari bekas penolong jurulatih Wolves, Edu Rubio.

Rubio mengakui ada ketikanya Jimenez merasa ragu-ragu sama ada beliau dapat kembali menjadi peledak berbisa seperti dahulu. Meskipun begitu, keazaman yang ditampilkannya menjadi pendorong untuk beliau kembali menjadi peledak digeruni.

“Beliau seorang pejuang. Saya pernah bekerja dengannya pada tahun terakhirnya di Wolves. Terdapat keraguan termasuk dirinya sendiri bahawa beliau akan kembali dan tahun terakhir di Wolves merupakan tahun yang mencabar untuknya.

“Tetapi secara peribadi, saya tidak ragu-ragu. Saya sentiasa tahu beliau akan kembali. Saya telah bekerja dengan ramai pemain profesional terkemuka dan anda dapat melihat beliau mempunyai daya tahan dan mempunyai keluarga baik yang menyokongnya.

“Semua orang di sana (di Wolves) menyukainya, seluruh kelab mahukan beliau bermain dengan baik. Seluruh kelab melabur untuknya kembali jadi ia sangat emosional, bukan sahaja kerana kerjayanya tetapi juga kerana beliau seorang yang penyayang,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Gol Jimenez merupakan gol ke-46 beliau dalam 125 penampilan antarabangsa bersama Mexico. Beliau berkongsi tempat kedua dengan legenda Mexico, Jared Borgetti dan hanya ketinggalan enam gol di belakang legenda Manchester United, Javier Hernandez.

Jika Jimenez meneruskan rentak cemerlang dalam Piala Dunia bersama Mexico, ini dilihat satu berita baik buat Wolves. Meskipun kini tersingkir ke Liga Kejohanan, beliau memilih kembali ke Molineux buat kali kedua selepas meninggalkan Fulham.