Piala Dunia FIFA: Mexico Atasi Afrika Selatan, 3 Kad Merah Jadi Tumpuan
MakanBola
Seleccion Nacional de Mexico

Mexico memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan kemenangan bertenaga ke atas Afrika Selatan dalam aksi pembuka tirai pada awal pagi Jumaat.

Aksi pembukaan Piala Dunia FIFA menyaksikan kemenangan 2-0 memihak Mexico di hadapan lebih puluhan ribu penyokong selepas tampil cemerlang jinakkan Afrika Selatan dalam aksi penuh dramatik dengan 3 layangan kad merah.

Jentera serangan Mexico ditunjangi oleh penyerang Fulham, Raul Jimenez bagi merobek kubu lawan manakala Afrika Selatan turun dengan formasi 5-3-2 sambil menjadikan pemain Burnley, Lyle Foster sebagai harapan meraih jaringan.

Tuan rumah hanya memerlukan 8 minit untuk membuka tirai jaringan hasil kesilapan pertahanan Afrika Selatan yang dimanfaatkan oleh pemain sayap Mexico, Julian Quinones dengan merembat kencang bola ke dalam gawang lawan.

Usaha Afrika Selatan bagi bangkit di babak kedua bagaimanapun tersentak apabila pemain tengah, Siphephelo Sithole dilayangkan kad merah di minit ke-49 gara-gara menarik pihak lawan dari belakang ketika situasi satu lawan satu.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Mexico untuk terus menekan lawan sebelum akhirnya jaringan kedua terhasil menerusi penyudah Raul Jiminez yang menyambar hantaran lintang Roberto Alvarado dari sebelah kanan.

Malang berganda kepada Bafana Bafana ketika terdesak memburu jaringan setelah giliran Themba Zwane pula dilayangkan kad merah pada minit ke-83, hasil semakan VAR yang mendapati beliau menampar muka pertahanan Mexico.

Kapten Mexico, Cesar Montes turut diarah keluar padang selepas menerima layangan kad merah daripada pengadil ketika di penghujung permainan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat 90 minit permainan di Stadium Azteca sekali gus memberi kemenangan pertama kepada Mexico dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026.