Penyerang Johor Darul Ta’zim, Ajdin Mujagic sah dipinjamkan ke Sarawak dengan menyertai kelab Kuching City FC.
Perpindahan pemain import asal Bosnia itu diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu hantaran video di semua platform rasmi kelab berkenaan.
“Pemangsa tidak menunggu. Pemangsa menerkam. Dari tengah-tengah Bosnia ke Kota Perpaduan, seorang penjaring gol yang terbukti hebat tiba dengan satu misi: untuk memburu, menakluk, dan melakar sejarah dalam warna hijau dan putih.”
“Ditempa melalui pelbagai pertembungan sengit dan didorong oleh keazaman tinggi untuk mengecapi kejayaan, Ajdin Mujagić kini memulakan lembaran baharu bersama Kuching City FC. Kota ini telah menemui ‘Pemangsa’nya. Selamat datang ke Kuching City FC, Ajdin dan biarlah pemburuan bermula,” kata The Cats dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Sebelum ini, pemain JDT itu sudah diumumkan meninggalkan Harimau Selatan secara pinjaman dan dikhabarkan Kuching City menjadi destinasi baharunya untuk musim 2026/27.
Mujagic menjadi rekrut terbaru The Cats selepas Nazmi Faiz Mansor, Dylan Wenzel-Halls, Irfan Zakaria, pemain import Jepun, Kaishu Yamazaki dan bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid.
Kehadiran bekas ayam tambatan Sabah itu dijangka menambah pilihan penyerang berbisa yang dimiliki jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak.