Akhyar Rashid Dilaporkan Ke Negeri Sembilan
MakanBola
Terengganu FC

Pemain sayap Terengganu, Akhyar Rashid dilaporkan bakal berkelana ke Negeri Sembilan FC secara pinjaman pada musim akan datang.

Sebelum ini, pemain sayap berusia 27 tahun itu dilaporkan bakal kembali ke negeri kelahirannya, Kedah selepas wartawan sukan terkemuka The Star, T. Avineshwaran memaklumkan Star City FC berminat mendapatkan khidmat tiga pemain termasuk Akhyar.

“Penjaga gol, Hafizul Hakim dan pemain sayap, T. Saravanan semakin hampir memuktamadkan perjanjian dengan Star City. Dua lagi nama dikaitkan (dengan pasukan itu) ialah Akhyar Rashid dan Haqimi Azim Rosli,” katanya di X pada 13 Julai lalu.

Makluman terbaharu yang diterima daripada salah seorang sumber kepada MakanBola bahawa Akhyar Rashid akan membawa haluan baru ke Negeri Sembilan secara pinjaman pada musim hadapan bagi memperkuat pasukan Sang Rusa.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mengatakan Negeri Sembilan berusaha memuktamadkan beberapa perpindahan pemain terkemuka yang masih lagi tidak didedahkan kepada umum.

Walaupun beliau tidak menyebut secara spesifik mengenai identiti pemain dalam radar Negeri Sembilan, profil Akhyar Rashid dilihat menepati ciri-ciri perpindahan besar yang diusahakan pasukan itu berdasarkan statusnya sebagai pemain kebangsaan.

“Beberapa nama lain jadi calon untuk perpindahan besar skuad Jang yang tampak bukan sahaja membabitkan pemain yang masih belum punyai kelab, malah turut melibatkan pemain yang masih bersama pasukan,” katanya di X.

Setakat ini, masih tiada sebarang pengesahan rasmi dilakukan oleh pihak Negeri Sembilan, Terengganu atau Akhyar Rashid bagi mengesahkan ura-ura yang dijangka bakal menjadi perpindahan hangat andai direalisasikan.

Untuk rekod, Negeri Sembilan baru sahaja mengumumkan ketibaan pemain tengah Terengganu, Akram Mahinan selain tonggak import dari Korea Selatan, Park Yi-young yang pernah beraksi di 2. Bundesliga bersama St. Pauli.

Pasukan kendalian Daniel Gimenez ini turut membawa masuk muka-muka baharu seperti Rahman Daud, Alif Mutalib, Umar Hakeem, Hairiey Hakim, Raimi Shamsul, Ryaan Sanizal serta pemain kacukan Malaysia-USA, Wan Kuzri.