Akhyar Rashid Ke Negeri Sembilan Secara Pinjaman
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid sah berhijrah ke Negeri Sembilan FC secara pinjaman dari Terengganu FC selama semusim.

Perpindahan pemain sayap berusia 27 tahun itu disahkan pengurusan The Jangs menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Bintang sensasi Harimau Malaya kini sah akan beraksi di Paroi! Pihak kelab dengan ini mengumumkan kemasukan pemain lincah, Akhyar Rashid, ke dalam keluarga besar Negeri Sembilan FC.

“Pemain berusia 27 tahun ini melengkapkan perpindahan ke Tanah Beradat secara pinjaman dari Terengganu FC.

“Menjadi ancaman utama di posisi sayap kiri, Akhyar juga memiliki kelebihan taktikal untuk beroperasi dengan sama tajam di posisi sayap kanan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini sekaligus mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Beliau mendedahkan Negeri Sembilan bakal memuktamadkan perpindahan beberapa pemain ternama, salah seorang daripadanya ialah Akhyar.

Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengikut jejak bekas rakan sepasukan di Terengganu, Akram Mahinan. Tidak seperti Akhyar, Akram menyertai The Jangs selepas memilih meninggalkan Peteh.

Akhyar dijangka bersaing sengit untuk mengisi posisi sayap. Selain beliau, Negeri Sembilan juga memiliki Jovan Motika, Hakimi Abdullah, Alif Mutalib, Mio Tsuneyasu, Anuar Ceesay dan Umar Hakeem.