Penolong jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap sekatan perpindahan yang dihadapi pasukan itu berakhir.
Ini kerana ini dapat membantu beliau menambah pemain baharu bagi memperkuat cabaran pasukan Pantai Timur itu.
Selain berdepan masalah kecederaan, ada juga pemain yang tidak disambung kontrak oleh pengurusan Kelantan TRW.
Hal ini menyebabkan Akmal Rizal hanya memiliki 19 pemain yang boleh dimanfaatkan dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Selangor FC baru-baru ini.
“ini sahaja pemain yang hanya saya ada sekarang. Lebih kurang 18 -19 pemain sahaja yang betul-betul boleh beraksi.
“Yang lain (tiada akibat) kecederaan dan juga banyak pemain yang telah ditamatkan kontrak sebelum ini,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan baru-baru ini.
Antara pemain yang telah meninggalkan pasukan itu ialah Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh dan Sebastian Avanzini.
Atas sebab itu, Akmal Rizal berharap situasi sekatan perpindahan yang membelenggu Kelantan TRW dapat diselesaikan dengan baki lapan hari tetingkap perpindahan dibuka.
Ini kerana pasukan itu sudah bersedia membawa masuk pemain baharu sebaik pengesahan diterima.
“Ya, saya sedia berdua dah mengharapkan keajaiban berlaku kerana masih ada lapan hari dan macam-macam perkara boleh berlaku. Dan saya pasti pihak pengurusan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini.
“Dan kita harap dalam masa terdekat, mungkin ada keajaiban dan kita boleh dibenarkan untuk mendapatkan pemain. Ini kerana pemain- pemain yang hendak di bawah masuk sudah bersedia,” tambahnya.
Akmal Rizal berharap sekiranya sekatan perpindahan ditarik balik, beliau mensasarkan dua orang penyerang dan seorang bek tengah baharu untuk Kelantan TRW.
Untuk rekod, Kelantan TRW dikenakan sekatan perpindahan oleh First Instance Body (FIB) selepas gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai musim 2024/25.