Kegagalan penyerang muda berbakat Liverpool FC, Darwin Nunez untuk mengawal emosinya di atas padang membawa padah apabila beliau dihukum dengan kad merah ketika Liverpool seri 1-1 menentang Crystal Palace.
Pemain berusia 23 tahun itu turun dalam kesebelasan utama buat pertama kalinya di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
Walau bagaimanapun, beliau jelas sukar untuk melepasi kawalan barisan pertahanan lawan yang merantai pergerakannya sejak minit pertama permainan.
Keadaan menjadi lebih parah tatkala anak didik Jurgen Klopp amat memerlukan gol, bekas bintang Benfica ini melakukan tindakan luar kawalan.
Beliau mudah termakan dengan umpan dan perang psikologi yang diberikan oleh pertahanan Crystal Palace, Joachim Andersen yang menghantuinya sepanjang 55 minit permainan.
Andersen sentiasa mengekori rapat dan menekan mental pemain kebangsaan Uruguay ini untuk terus melakukan kesilapan dan mengagalkan usaha menjaringkan gol.
Nunez seakan sudah ‘panas’ dengan usikan Andersen bertindak untuk menanduk muka pemain tersebut sehingga menyebabkan beliau terbaring.
Pengadil perlawanan yang mengesan tindakan beliau tidak menunggu lama untuk melayangkan kad merah dan mengarahkan beliau untuk meninggalkan padang serta-merta.
Liverpool yang bermain dengan 10 orang masih menjaringkan gol menerusi Luiz Diaz untuk mencuri satu mata berharga.