Advertisements
Al-Hilal Tawarkan Lionel Messi Gaji RM1.7 Bilion Ke Arab Saudi
Transfer
MakanBola
Paris Saint-Germain

Dengan kontrak Lionel Messi dijangka tamat akhir musim ini, kelab-kelab mula berebut mendapatkan khidmat legenda Argentina itu. Terbaru, kelab Arab Saudi, Al-Hilal bersedia menawarkan gaji berjumlah €400 juta (RM1.7 bilion) setahun untuk bekas penyerang Barcelona itu.

Tawaran tersebut didedahkan oleh wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano di laman media sosialnya semalam. Al-Hilal yang sedang mendahului Saudi Pro League ketika ini berharap jika Messi menyertai mereka, ia dapat memperbaharui persaingan antara beliau dengan legenda Portugal, Cristiano Portugal.

Persaingan antara kedua-duanya amat sengit terutama semasa mereka bersama Barca dan Real Madrid. Ketika ini, Ronaldo menjadi ayam tambatan pesaing Al-Hilal, Al-Nassr.

Begitupun, Messi dijangka menolak tawaran itu kerana mahu kekal di Eropah sekurang-kurangnya sehingga musim panas 2024. Ini kerana pada ketika itu, kejohanan Copa America diadakan dengan penyerang PSG itu dijangka mengetuai cabaran Albiceleste sebagai juara dunia.

Sebelum ini, Barca sudah menyatakan hasrat untuk membawa Messi kembali ke Nou Camp. Walaupun sudah beberapa kali berhubung dengan rakan lama dan jurulatih pasukan, Xavi, kelab harus melepasi Peraturan Fair Play Kewangan La Liga sebelum membuat sebarang tawaran kontrak.

Dengan kelab dilaporkan tidak boleh berbelanja melebihi €500 juta (RM2.4 bilion) musim hadapan, Messi perlu menimbang kemungkinan mengambil potongan gaji untuk pulang ke Nou Camp.

PSG juga dilaporkan cuba menyambung kontrak Messi untuk sekurang-kurangnya semusim lagi. Bagaimanapun, penyerang Argentina itu dilaporkan menolak tawaran tersebut dengan menambah beliau memerlukan alasan yang lebih kukuh untuk kekal di Paris.

Dengan Messi diejek penyokong PSG dalam kekalahan kelab tersebut kepada Lyon baru-baru ini, agak sukar untuk melihatnya terus bersama kelab Perancis itu.