Al-Quran Pendamping Setia Ismael Kone
MakanBola
Canada Soccer

Pemain tengah Kanada, Ismael Kone mendedahkan beliau selalu membawa Al-Quran setiap kali perlawanan baik di peringkat kelab atau bersama skuad negara itu.

Perkara ini dikongsikan pemain tengah Sassuolo itu dalam satu video yang dikongsikan Ilmfeed baru-baru ini.

Kone memaklumkan antara rutin beliau dalam setiap perjalanan mengharungi sesebuah perlawanan ialah membaca Kalamullah sebanyak satu atau dua muka surat.

“Setiap kali mengembara, saya cuba baca Al-Quran satu, dua muka surat atau lebih jika saya berkesempatan.

“Saya fikir ia satu perkara yang penting untuk membacanya sebelum perlawanan. Ia memberikan saya perasaan yang bagus,” katanya.

Kone turut menyifatkan jika beliau kehilangan iman, ia merupakan satu kekecewaan yang besar buat dirinya. Ini kerana itu akan menyebabkan dirinya menjadi orang yang berbeza.

“Jika saya hilang percaya kepada agama di mana saya fikir itu tidak akan berlaku, saya akan jadi orang yang berbeza. Sebab saya dibesarkan dengan (nilai) keimanan kepada Allah s.w.t,” tambahnya.

Kone kini fokus menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan patah kaki dalam aksi Piala Dunia antara Kanada dan Qatar baru-baru ini.