Pemain Kanada Alami Kecederaan Ngeri
MakanBola
Canada MNT

Pemain tengah Kanada, Ismail Kone mengalami kecederaan patah kaki yang mengerikan ketika bertemu Qatar dalam aksi Piala Dunia FIFA.

Insiden menggemparkan tersebut berlaku pada minit ke-50 apabila Ismail Kone yang mengawal mahu melakukan hantaran kepada rakan sepasukan, namun pemain Qatar, Assim Madibo tiba dengan terjahan lewat dari arah belakang.

Terjahan itu mengakibatkan kecederaan di bahagian kaki kiri Ismail Kone yang rebah mengerang kesakitan sambil melihat kecederaan yang dialami, tatkala pasukan medik dengan pantas memasuki padang bagi memberikan bantuan.

Situasi sempat bertukar tegang apabila sekumpulan pemain Kanada tidak berpuas hati dengan terjahan lewat Assim Madibo itu dan pengadil tidak teragak-agak bagi melayangkan kad merah kepada tonggak tengah Qatar tersebut.

Ismail Kone diusung keluar selepas menerima rawatan awal dan jurulatih Kanada, Jesse March membawa masuk pengganti, Nathan Dylan-Saliba untuk mengisi kekosongan di jentera tengah pada baki 30 minit terakhir permainan.

Laporan awal mendapati Ismail Kone mengalami kecederaan patah kaki dengan rawatan lanjut akan menyusul bagi memperoleh keputusan penuh, namun insiden ini pastinya menjadi satu detik yang tidak diinginkan oleh beliau.

Keputusan akhir perlawanan menyaksikan Kanada membelasah Qatar 6-0 dengan Jonathan David mencetak hatrik selain jaringan Cyle Larin, Dylan Saliba dan gol sendiri oleh pertahanan lawan, Mohamed Naceur Almanai.