Alejandro Garnacho Tinggalkan Manchester United
MakanBola
Manchester United

Pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho dijangka meninggalkan kelab itu pada musim 2025.

Perkara ini dikongsikan wartawan sukan antarabangsa terkenal, Fabrizio Romano. Ini kerana Garnacho dan United telah mencapai persetujuan untuk beliau meninggalkan Old Trafford.

“Alejandro Garnacho bakal tinggalkan Manchester United, keputusan disahkan oleh pihak kelab dan pemain – kedua-duanya akan berpisah.

“Difahamkan (beliau) sedia menimbang kemungkinan kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tiga kelab menunjukkan minat selepas Bayer Leverkusen dan kelab-kelab Itali berhubung (dengannya),” katanya di X.

Perubahan ini berlaku disebabkan hubungan Garnacho dan pengurus United, Ruben Amorim yang semakin renggang.

Ini semakin terserlah apabila pemain sayap Argentina itu mengkritik beliau kerana tidak menurunkannya dalam kesebelasan utama final Liga Europa UEFA (UEL).

Meskipun begitu, langkah tersebut dilaporkan bukan saja mencetuskan kemarahan Amorim. Malah, ia mengundang kenyataan pedas beberapa figura terkenal United seperti bekas penjaga gol kelab, Ben Foster dan jurulatih Belanda, Rene Meulensteen.

Foster dan Meulensteen menganggap tindakan Garnacho sebagai mementingkan diri sendiri dan langsung tidak mengutamakan semangat berpasukan yang menjadi teras kelab itu.

Sekiranya beliau meninggalkan Old Trafford, antara destinasi berkemungkinan menjadi pilihannya ialah Bayer Leverkusen.

Ini kerana bekas juara Bundesliga itu kini dilatih bekas pengurus United, Erik ten Hag. Ten Hag dibawa masuk sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Xabi Alonso.

Selain Garnacho, pengurus Belanda itu dilaporkan turut berminat membawa Antony ke Leverkusen. Antony kembali ke United selepas tamat tempoh pinjaman bersama Real Betis.