Pemain nombor 10 dunia, Lee Zii Jia meneruskan momentumnya dalam All England Open Championship 2024 dengan mara ke suku akhir.
Kejayaan itu dilakar dengan menewaskan juara dunia perseorangan lelaki edisi 2021 dari Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi pusingan kedua hari ini.
Dari segi rekod pertemuan, Zii Jia memiliki kelebihan kerana sudah menewaskan pemain nombor 11 dunia itu lima kali daripada tujuh pertemuan sebelumnya.
Daripada tujuh rekod pertemuan sama, anak jati Alor Setar, Kedah itu memegang rekod tiga kemenangan berturut-turut ke atas Kean Yew.
Set pertama menyaksikan Zii Jia mempamerkan aksi dominan ke atas naib juara Thailand Masters 2024 itu. Pada satu ketika, juara Arctic Open 2023 itu mendahului pada kedudukan 8-0.
Meskipun Kean Yew cuba merapatkan jurang mata, Zii Jia tenang mengawal tempo permainan sebelum menang dengan keputusan 21-15.
Set kedua menyaksikan jaguh perseorangan lelaki Singapura itu cuba bermain agresif untuk mendapatkan momentum dalam perlawanan.
Malangnya, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Kean Yew memberi ruang kepada Zii Jia untuk melebarkan kelebihan mata yang dimilikinya.
Dan itu sudah cukup untuk membawa naib juara Denmark Open 2023 untuk layak ke suku akhir dengan kemenangan 21-12.
Zii Jia bakal bertemu sama ada jaguh perseorangan lelaki India, Lakshya Sen atau wakil Denmark, Anders Antonsen di peringkat suku akhir.