Perjuangan beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah dalam saingan All England 2026 berakhir di peringkat separuh akhir.
Ini selepas kemaraan beregu wanita nombor dua dunia itu disekat wakil Korea Selatan, Baek Ha-na dan Lee So-hee.
Ha-na-So-hee mara ke final dengan keputusan 21-17, 21-18. Meskipun tewas, Pearly-Thinaah tetap melakar sejarah di pentas All England.
Ini kerana mereka menjadi beregu wanita Malaysia kedua mara ke peringkat separuh akhir dalam tempoh 19 tahun.
Kali terakhir perkara ini dicapai ialah tahun 2007 menerusi beregu wanita utama negara pada ketika itu, Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty.
Ee Hui-Pei Tty muncul beregu wanita pertama negara mara ke peringkat itu sebelum tewas kepada wakil China, Yang Wei dan Zhang Jiewen.
Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah berjumlah AS$20,300 (RM80,000). Ini sebagai ganjaran buat pemain beregu yang mara ke peringkat separuh akhir.
Kini, fokus juara Indonesia Masters itu yang seterusnya ialah saingan Uber Cup yang akan berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini.