“Allah Tak Pernah Kecewakan Saya” – Ismael Kone
MakanBola
Instagram: @hollywood.ik

Pemain tengah Kanada, Ismael Kone menyifatkan kecederaan serius yang dialaminya merupakan ujian Allah s.w.t buat dirinya.

Pandangan itu dibuat pemain tengah Sassuolo itu menerusi satu hantaran di Instagram. Pada hemat pemilik nama Ismael Kenneth Jordan Kone itu, beliau melihat Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui atas segala-galanya.

Kone percaya ada hikmah di sebalik ujian yang dihadapinya. Atas sebab itu, pemain tengah berusia 24 tahun itu memilih untuk bersikap positif dan berharap dapat menjadi hamba yang lebih baik di sisi-Nya.

“Allah tidak pernah mengecewakan saya. Sepanjang hidup saya, tidak sekalipun. Jadi, kenapa nak meragui-Nya sekarang? Lebih-lebih lagi mengetahui perkara ini (kecederaan serius).

“Dia Maha Mengetahui dan telah melihat segalanya sebelum perkara itu berlaku lagi. Dia ada rancangan dan visi untuk kita semua.

“Pertarungan (untuk pulih daripada kecederaan) ialah ujian untuk perwatakan saya dan keimanan kepada-Nya. Dan sejujurnya saya bersedia kerana Allah tidak akan sekali-kali menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak boleh diatasi dan diuji itu ialah anugerah terindah daripada Dia,” katanya.

Keyakinan Kone dilihat seiring dengan petikan firman Allah s.w.t dalam ayat 286, Surah Al-Baqarah mafhumnya, “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Kone mengalami kecederaan patah kaki yang serius dalam aksi menentang Qatar baru-baru ini. Susulan itu, beliau perlu menjalani pembedahan untuk membantu proses pemulihan kecederaannya.

Kecederaan ini menyaksikan Kone terpaksa melupakan baki kempen Piala Dunia 2026 bersama Kanada. Sassuolo pula dijangka menerima pampasan £480,000 (RM2.63 juta) dengan mengambil kira tempoh pemulihan kecederaan beliau selama sembilan bulan.