Pemain sayap lincah, Alvin Fortes dan pemain tengah, Noor Al-Rawabdeh dipastikan kekal bersama Selangor FC musim hadapan.
Saingan Liga Malaysia 2024-2025 telah pun melabuhkan tirai dengan khabar angin perpindahan pemain kini menjadi topik hangat dalam kalangan peminat tempatan termasuklah juga pasukan Selangor.
Beberapa pemain Selangor dikatakan bakal membawa haluan baharu dengan Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee, Safuwan Baharudin dan Yohandry Orozco antara nama yang tidak ada dalam pelan pasukan.
Nasib pemain import yang lain ketika ini menjadi tanda tanya namun laporan terkini menjelaskan bahawa Alvin Fortes dan Noor Al Rawabdeh masih kekal bersama pasukan Gergasi Merah itu.
Menurut Dato’ Sri Shahril Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC bahawa kedua-dua pemain import ini akan dikekalkan selain pertahanan dari Jordan, Mohammad Abualnadi
”Yang kekal sekarang, yang pasti (adalah) Alvin Fortes, Noor Al Rawabdeh (pula masih) ada satu lagi musim,” kata Dato’ Sri Shahril Mokhtar kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Seorang lagi kita ada inshaa Allah, Mohammad Abualnadi, pemain dari Jordan,” kata beliau lagi.
Berdasarkan rekod, Fortes mengharungi musim sulung yang cukup gemilang di Selangor apabila mencatatkan 17 jaringan serta 5 bantuan gol dalam 35 penampilan sepanjang musim ini.
Nasib berbeza pula ditempuh oleh Noor Al-Rawabdeh yang mengalami Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada Oktober lalu dan memaksa beliau disisihkan sepanjang musim 2024-2025.