Selangor FC menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat tonggak tengah Jordan, Noor Al-Rawabdeh.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu perlu berehat panjang selepas mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL). Perkara ini dikongsikan sendiri Noor menerusi satu hantaran di Instagram Story beliau.
“Hasil pemeriksaan mendapati saya didiagnosis dengan kecederaan ACL. Kami hanya mengatakan apa yang diredhai Allah, maka segala puji bagi Allah untuk segala-galanya,” katanya.
Sejak menyertai Selangor pada musim 2023, Noor menjadi antara tonggak utama di bahagian tengah pasukan itu. Beliau merekodkan 43 penampilan, tujuh gol dan lima bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Selain menambah kreativiti di bahagian tengah, pengalaman dan kepimpinan yang dimiliki Noor turut ditagih Nidzam. Ini dibuktikan apabila bekas pemain tengah Al-Jazeera itu kerap diberi peluang sebagai kapten Selangor selepas tonggak pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin.
Ketiadaan Noor bakal merumitkan perancangan Nidzam untuk dua aksi penting pada minggu ini. Selain berdepan Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober, Selangor juga bakal berdepan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 27 Oktober.
Nidzam dijangka memanfaatkan Syahir Bashah, Mukhairi Ajmal, Nikola Jambor, Alex Agyarkwa dan Yohandry Orozco sebagai pengganti Noor.
Pengendali berusia 44 tahun itu sekurang-kurangnya boleh menghela nafas lega kerana Agyarkwa sudah kembali cergas. Ini selepas pemain tengah Ghana itu tersenarai dalam aksi Piala MFL Selangor dan JDT II baru-baru ini.
Sebelum ini, Agyarkwa terpaksa berehat selama tiga bulan selepas mengalami kecederaan dalam aksi final Piala FA 2024.