Kelab Kuwait, Al-Fahaheel SC menjadi kelab pilihan pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes selepas meninggalkan Selangor FC.
Perpindahan pemain sayap berusia 32 tahun itu diumumkan pengurusan kelab itu menerusi satu kenyataan ringkas di semua platform mereka.
Fortes menjadi rekrut import ketiga kelab Asia Barat itu selepas Ranga Chivaviro dan Gatoch Panom. Selain mereka, kelab itu turut merekrut bekas jurulatih Abha, Martin Sevela sebagai jurulatih baharu.
Al-Fahaheel berharap Fortes dapat mengulangi bisanya di bahagian serangan ketika bersama Selangor. Sepanjang dua musim bersama Selangor, beliau merekodkan 80 penampilan, 33 gol dan 15 bantuan gol.
Fortes turut membantu Merah Kuning muncul juara MFL Challenge Cup musim 2024/25. Selepas tamat musim 2025/26, beliau antara tujuh tonggak import yang tidak dikekalkan Selangor.
Fortes menjadi pemain terbaru yang mendapat kelab selepas meninggalkan Merah Kuning. Selain beliau, Picha Autra dan Mohammad Abualnadi juga mendapat kelab baharu dengan menyertai Bangkok United dan FC Corvinul Hunedoara.
Selangor sudah merekrut lima pemain baharu termasuk dua tonggak import, Eduardo Sosa dan Jefferson Tabinas.