Pemain berdarah campuran Jepun-Filipina-Ghana, Jefferson Tabinas sertai Selangor bagi musim 2026/2027.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Gergasi Merah selepas menghabiskan satu musim bersama Chonburi FC, sekali gus membawa haluan baharu ke kancah Liga Malaysia buat kali pertama.
Perpindahan pertahanan tengah itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di semua platform rasmi mereka pada Rabu.
Tabinas berkata visi dan cita-cita besar kelab menjadi antara faktor utama yang mendorongnya menyertai Selangor FC.
“Sebelum membuat keputusan, saya meluangkan masa untuk mengenali kelab ini dengan lebih mendalam, termasuk budaya, penyokong serta visi yang ingin dicapai pada masa hadapan. Apa yang saya temui benar-benar mengagumkan. Selangor FC merupakan sebuah kelab yang mempunyai sejarah gemilang, penyokong yang cukup bersemangat serta cita-cita yang jelas untuk terus berkembang. Itulah antara sebab utama saya memilih untuk menyertai Gergasi Merah,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman media sosial milik Selangor.
Pemain antarabangsa Filipina itu turut berharap dapat memanfaatkan pengalaman yang ditimba sepanjang beraksi di Jepun dan Thailand bagi membantu Selangor FC merealisasikan sasaran serta mencapai kejayaan yang diimpikan.
Seterusnya, Ketua Jurulatih Kim Pan-gon percaya pengalaman Tabinas di Jepun dan Thailand akan memberikan nilai yang besar kepada pasukan.
“Jefferson telah membuktikan dirinya di dua liga paling kompetitif di Asia, iaitu Jepun dan Thailand. Beliau memahami apa yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi serta memiliki mentaliti seorang pemain yang sentiasa berusaha untuk menang. Apa yang paling menonjol bagi saya ialah kebijaksanaan beliau dalam membuat keputusan ketika mengawal bola, disiplin taktikal, serta kebolehannya untuk beraksi di pelbagai posisi,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Jefferson Tabinas menjadi rekrut keempat Selangor FC, sekali gus merupakan pemain import pertama The Red Giants bagi musim 2026/2027.