Amad Diallo: Ivory Coast Datang Cipta Sejarah
MakanBola
FIFA World Cup

Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo melihat kemenangan Ivory Coast ke atas Ecuador sebagai bukti pasukan itu serius mencipta sejarah dalam Piala Dunia.

Hal ini dinyatakan pemain sayap berusia 23 tahun itu selepas perlawanan pertama Kumpulan E antara kedua-dua pasukan itu di Philadelphia.

Amad melihat saingan kali ini lebih manis kerana ramai rakan sepasukan termasuk dirinya membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia.

Justeru, bekas pemain Atalanta itu mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di kejohanan berprestij itu untuk mengharumkan nama Ivory Coast.

“Sudah tentu, kita memerlukannya. Kita tahu kita datang ke sini untuk mencipta sejarah. Ini (penampilan) pertama dalam kejohanan ini untuk kami semua dan kami cukup bermotivasi.

“Sejak perlawanan menentang Perancis, kita tahu tentang ini dan kita telah buat persiapan (terutama) dari segi mental. Dan kita gembira dengan kejayaan ini,” katanya.

Amad tidak mahu melihat kejayaan Ivory Coast terhenti di situ saja. Beliau berharap pasukan gergasi Afrika itu dapat mara lebih jauh dalam Piala Dunia.

“Tetapi kita tidak mahu terhenti di sini saja. Ada dua lagi perlawanan seterusnya dan kita kena mula dengan mentaliti sama dan cuba untuk menang,” tambahnya seperti dilaporkan DAZN Football.

Amad muncul wira Ivory Coast dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-90. Lebih manis, beliau juga pemain Ivory Coast termuda menjaringkan gol dalam Piala Dunia pada usia 23 tahun 11 bulan.

Amad mengatasi rekod yang dicipta Bakari Kone yang melakukannya pada usia 24 tahun 8 bulan.