Piala Dunia FIFA: Gol Lewat Ivory Coast Hampakan Ecuador
MakanBola
La Tri Ecuador

Hasrat Ecuador meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan E Piala Dunia 2026 musnah apabila tewas 1-0 kepada Ivory Coast di Lincoln Financial Field, Philadelphia.

Selepas Jerman membelasah Curacao 7-1 dalam satu lagi aksi kumpulan, kedua-dua pasukan sedar mereka juga memerlukan kemenangan untuk membuka kempen Piala Dunia dengan tona positif.

Jeneral tengah Al-Ahli, Franck Kessie mengemudi jentera tengah Ivory Coast. Bintang Chelsea, Moises Caicedo menjadi nadi kreatif Ecuador.

Separuh masa pertama menyaksikan Ecuador lebih banyak menguasai permainan. Jentera serangan mereka diketuai kapten dan bekas penyerang West Ham, Enner Valencia kerap menguji benteng Ivory Coast.

Ini memaksa pertahanan Ivory Coast diketuai Guela Doue bekerja keras mematahkan setiap ancaman yang digerakkan Ecuador.

Pasukan Amerika Selatan itu dua kali menggegar palang gawang Cameroon pada minit ke-23 dan 29. Meskipun begitu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus buntu mencipta peluang jaringan. Situasi ini mendorong jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae membuat dua pertukaran pemain.

Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo dan penyerang Inter Milan, Ange-Yoan Bonny menjadi taruhan Fae untuk merobek gawang Ecuador. Ecuador pula memasukkan penyerang Sunderland, Nilson Angulo menggantikan Alan Minda.

Percubaan terbaik Amerika Selatan itu hadir pada minit ke-68 menerusi Gonzalo Plata. Malangnya, percubaan pemain Flamengo itu pantas ditepis penjaga gol Ivory Coast, Yahia Fofana.

Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Amad memastikan kemenangan milik Ivory Coast pada minit ke-90. Keputusan ini menyaksikan Ivory Coast dan Jerman dalam kedudukan dua teratas Kumpulan E dengan tiga mata.

Kerja keras pemain sayap Ivory Coast, Yan Diomande diiktiraf Sofascore dengan markah 8.2. Amad hanya dipisahkan dengan Diomande dengan perbezaan 0.1 mata.

Selepas ini, anak buah Fae akan menentang Jerman pada 21 Jun. Ecuador pula akan menentang Curacao pada hari yang sama.