Harimau Malaya berpeluang mendapat sentuhan pemain berdarah warisan England yang juga anak kepada bekas bintang Chelsea.
Laman Harimau Abroad pada Rabu mendedahkan bahawa anak kepada bekas bintang England dan Chelsea, Carlton Cole iaitu Cayden dan Cody Cole memiliki darah kacukan Malaysia.
Cayden Cole yang kini beraksi bersama Middlesbrough B-18 miliki pertalian dengan Malaysia melalui nenek di sebelah ibu beliau yang berasal dari Beranang dan ini membolehkannya mewakili Harimau Malaya.
Walau bagaimanapun, Malaysia perlu bertindak pantas andai tidak mahu kehilangan tonggak muda ini oleh kerana Cayden pernah dipanggil untuk mewakili pasukan Sierra Leone B-20 tahun lalu.
Selain Cayden, adik lelaki beliau iaitu Cody Cole juga memiliki pertalian dengan Malaysia dan ketika ini bermain buat skuad akademi West Ham United, kelab yang pernah diwakili bapa mereka.
Nama Carlton Cole amat dikenali oleh peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Asia Tenggara oleh kerana beliau pernah mewakili Chelsea, West Ham United selain kelab Indonesia, Persib Bandung.
Setakat ini, tidak sebarang makluman mengenai usaha dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi merekrut atau menghubungi wakil keluarga Cayden dan Cody Cole ini.