Anak Bojan Hodak Dapat Panggilan Malaysia?
MakanBola
Luka Jordy Hodak

Anak jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak memberi bayangan bahawa dia telah mendapat panggilan skuad Malaysia.

Bayangan itu dikongsikan Luka Jordy Hodak menerusi satu hantaran di Instagram Story baru-baru ini. Tangkap layar hantaran sama turut dikongsikan Harimau Abroad.

Hantaran tersebut menunjukkan gambar Luka dengan simbol bendera Malaysia dan jam pasir.

Meskipun tidak menyatakan menerima panggilan skuad mana, pemain NK Trnje itu berpotensi menyertai skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).

Ini kerana pasukan yang dibimbing Nafuzi Zain itu memiliki dua tugasan besar untuk tahun 2026. Selain menghadapi Kejuaraan ASEAN B-19, skuad muda negara juga akan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-20.

Justeru, kualiti pemain seperti Hodak dilihat dapat membantu skuad Malaysia B-19 bersaing di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Hodak juga sudah memberi izin kepada Luka untuk mewakili Malaysia. Malah, bekas jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu turut mengesahkan anaknya memiliki darah Malaysia.

“Isteri saya adalah warga Malaysia dan Luka pula dilahirkan di Malaysia,” katanya dalam satu laporan media.

“Dia (Luka Hodak) memiliki pasport Malaysia dan seandainya dia menerima panggilan daripada skuad Malaysia, kami bakal membenarkannya menyertai kem latihan.”

Kejuaraan ASEAN B-19 bakal berlangsung dari 1 hingga 13 Jun ini.