Harimau Malaya
Edited By FZ
Advertisements

AFC Asian Cup: Malaysia sah tersingkir daripada saingan Piala Asia 2023 apabila tewas kepada Bahrain dalam aksi kedua peringkat Kumpulan E. Lebih memeritkan, Harimau Malaya melepaskan gol di minit-minit akhir permainan menerusi situasi bola mati hasil jaringan Ali Madan.

Kekalahan ini meletakkan Malaysia berada di tangga terakhir Kumpulan E setelah mencatatkan dua kekalahan daripada dua perlawanan.

Analisis MakanBola kali ini akan memberi penumpuan bagaimana kegagalan tugasan bertahan secara individu merobohkan struktur blok pertahanan Malaysia yang berjaya dieksploitasi pemain lawan.

Advertisements

Kesebelasan utama kedua-dua pasukan

lineups Analisis Taktikal : Kegagalan 'Individual Defending' Melondehkan Blok Pertahanan Malaysia

Meskipun menerima kritikan daripada segelintir peminat, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan-Gon mengekalkan formasi 3-4-3, namun melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menghadapi perlawanan ini.

Shahrul Saad dan Dominic Tan dibawa masuk bagi membentu bek bertiga bersama Dion Cools, sementara Syamer Kutty Alba dibawa masuk bagi berpasangan dengan Stuart Wilkin sebagai ‘double pivot’, sementara Paulo Josue mengetuai rantaian serangan bertiga bersama Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Advertisements

Pendekatan permainan Harimau Malaya di separuh masa pertama

Malaysia memulakan permainan dengan menekan pemain Bahrain di garis tinggi menerusi ‘high blocks’ 5-3-2 bagi mengganggu kelancaran binaan serangan lawan, sementara menunggu detik sesuai bagi melancarkan transisi serangan dengan mengambil kesempatan ke atas struktur serta kedudukan pemain lawan yang tidak teratur.

Advertisements

Faisal Halim dan Arif Aiman mengetuai tekanan yang akan diberikan ke atas pemain ‘centre backs’ Bahrain, sementara Paulo Josue akan mengenakan kawalan secara ‘shadow marking’ ke atas pemain ‘pivot’ Bahrain, Atede.

Organisasi bertahan ini pada awalnya berupaya mengganggu kelancaran binaan serangan pasukan Bahrain di mana pasukan lawan dipaksa untuk lebih banyak melakukan hantaran-hantaran jauh yang kurang efektif, sekaligus membolehkan Malaysia memperoleh semula penguasaan bola serta melancarkan transisi serangan.

Advertisements

Namun, isu ‘cohesion’ yang berlaku dalam perlawanan terdahulu masih gagal dibendung oleh skuad kebangsaan sekaligus membolehkan Bahrain melakukan hantaran penembusan bagi meletakkan pemain mereka untuk berada di kedudukan menyerang yang berpotensi menghadirkan ancaman buat barisan pertahanan Malaysia.

Menerusi laporan data yang dikeluarkan oleh Wyscout, struktur Malaysia (pasukan kuning) kelihatan lompong di antara garisan pertahanan dan garisan tengah (midfielders), sekaligus mendedahkan ruang tersebut untuk diesksploitasi oleh Bahrain menerusi kombinasi permainan yang membelah blok pertahanan Malaysia.

Antara faktor utama yang mendorong bukaan ruang di antara garisan ini adalah kerana tugasan bertahan individu yang gagal dilaksanakan dengan baik, sekaligus meruntuhkan blok pertahanan Malaysia secara kolektif.

Mentaliti bertahan yang pasif memakan diri?

Namun sebelum kita membincangkan perihal tugasan bertahan individu tersebut, kita harus mengkaji pendekatan permainan Malaysia menerusi taburan data yang boleh menyokong hujah analisis yang bakal dibincangkan menerusi artikel ini.

Malaysia dilihat ‘merelakan’ penguasaan bola kepada Bahrain, di mana pasukan lawan berjaya mendominasi 64% penguasaan bola, sementara Harimau Malaya hanya mencatatkan 36% penguasaan bola.

Situasi ini turut mempengaruhi tahap intensiti tekanan yang dikenakan ke atas pemain Bahrain setiap kali Malaysia kehilangan penguasaan bola, apabila bacaan ‘pressing intensity’ (PDPA) menunjukkan Malaysia mencatatkan jumlah 11.8 PDPA, sementara Bahrain mencatatkan bacaan 6.4 PDPA. Sebagai rujukan, semakin rendah bacaan PDPA, semakin agresif tekanan yang diberikan oleh sesebuah pasukan ketika mereka kehilangan penguasaan bola, dan sebaliknya.

Mentaliti bertahan secara pasif ini membolehkan Bahrain memperoleh ruang dan masa yang mencukupi bagi menggerakkan permainan dengan lebih tersusun, terutamanya menerusi ‘rotational movements’ daripada pemain mereka yang memecahkan struktur kompak pertahanan Malaysia.

‘Rotational movements’ Bahrain melemaskan Harimau Malaya

Meskipun Malaysia pada awalnya berjaya meneutralkan ancaman serangan Bahrain, namun disiplin bertahan tersebut tidak dapat dikekalkan apabila pemain lawan melakukan ‘rotational movements’ yang mengelirukan pemain negara dalam melakukan kawalan serta tugasan bertahan dengan baik.

Menerusi gambar di atas, Malaysia pada awalnya menyusun blok pertahanan secara ‘mid blocks’ 5-3-2. Namun Bahrain melakukan ‘rotational movements’ yang melibatkan Atede yang ‘drop deeper’ bagi menerima hantaran bola daripada rakan sepasukannya.

Pergerakan ini menarik Syamer Kutty untuk keluar dari posisinya untuk melakukan tekanan, sekaligus meninggalkan bukaan ruang di belakangnya yang diesksploitasi oleh Komail Al Aswad.

Syamer Kutty terus menyambung tindakan ‘pressurizing’ ke atas pemain ‘centre back’ Bahrain, namun tiba sedikit lewat bagi menghalang hantaran penembusan yang dilakukan kepada Ali Madan yang mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan Syamer sebelum itu.

Paulo Josue turut lambat dalam melakukan ‘shifting’ bagi mengekori rapat pergerakan Atede

Sekaligus membolehkan pemain ‘pivot’ Bahrain (Atede) tersebut menerima hantaran bola daripada Ali Madan yang ditekan oleh Dominic Tan.

Kedudukan badan Atede yang terbuka turut membolehkan beliau melakukan hantaran susulan kepada Ali Madan yang pantas menyerang ruang yang ditinggalkan oleh Dominic Tan.

Keadaan ini memaksa Dominic Tan untuk mejatuhkan Ali Madan bagi menghentikan ancaman serangan Bahrain.

Ini merupakan satu lagi contoh yang menggambarkan isu bertahan yang dialami oleh pasukan Malaysia dalam perlawanan ini. Malaysia menyusun blok bertahan mereka secara ‘mid blocks’ 5-3-2, sementara Bahrain melakukan pengedaran bola (ball circulations) dalam usaha untuk mencari bukaan ruang di antara pemain Malaysia.

Pengedaran bola Bahrain telah mempengaruhi kedudukan ‘first pressing lines’ Malaysia, dengan Arif Aiman tidak berada di kedudukan ideal bagi menekan pemain Bahrain yang sedang memiliki penguasaan bola.

Situasi ini turut memberikan kesukaran kepada Stuart Wilkin dalam membuat keputusan sama ada kekal di posisi bertahannya ekoran kelewatan Syamer Kutty dalam melakukan ‘shifting’, atau keluar segera bagi menekan pemain Bahrain tersebut.

Stuart Wilkin membuat keputusan untuk keluar menekan pemain lawan, namun tiba sedikit lewat dalam menghalang hantaran yang dilakukan kepada Atede. Kelewatan Syamer Kutty dalam melakukan ‘shifting’ memberikan ruang dan masa yang mencukupi buat Atede.

Bagi melakukan kombinasi permainan bersama Ali Madan, serta menyerang ruang di belakang Syamer Kutty.

Situasi ini meletakkan Bahrain untuk berada di posisi menyerang yang merbahaya.

Situasi ini seakan menjadi tema kepada isu permainan Harimau Malaya dalam perlawanan ini. Menerusi ‘high blocks’ 5-3-2 yang dilakukan oleh Malaysia, ianya kelihatan ideal dalam menutup ruang tengah buat pasukan Bahrain.

Namun begitu, tugasan bertahan individu sekali lagi meruntuhkan kepadatan serta keberkesanan blok pertahanan Malaysia.

Tindakan pemain tengah Bahrain, Mohammed Al Hardan yang turun lebih rendah (drop deeper) untuk menerima hantaran rakan sepasukan telah menarik keluar Stuart Wilkin dari posisi bertahannya.

Berdasarkan situasi ini, tindakan ideal Arif Aiman adalah untuk melakukan ‘shifting’ bagi menutup lorong hantaran Bahrain.

Namun begitu, penyandang anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (MVP) tersebut memilih untuk menekan pemain Bahrain, sekaligus membuka lorong hantaran yang berjaya dieksploitasi oleh Atede untuk melakukan hantaran penembusan kepada Mohamed Marhoon.

Paulo Josue juga gagal mengekori rapat Mohammed Al Hardan yang membolehkan pemain ‘pivot’ Bahrain tersebut menerima hantaran Mphamed Marhoon di poket ruang.

Perhatian Syamer Kutty ketika ini tertumpu dalam memberi kawalan kepada Ali Madan .

Kegagalan Paulo Josue dalam memberi kawalan terhadap Mohammed Al Hardan memaksa Syamer Kutty untuk keluar dari posisinya untuk menekan pemain ‘pivot’ lawan tersebut, sekaligus membolehkan Ali Madan untuk berada di poket ruang.

Keadaan ini memberikan pemain lawan tersebut ruang dan masa mencukupi untuk melebarkan permainan ke bahagian sisi padang.

Pergerakan permainan ke bahagian sisi ini turut mencipta bukaan ruang di antara Corbin-Ong dan Dominic Tan yang dieksploitasi oleh Ali Madan, sekaligus membolehkan Bahrain untuk sekali lagi berjaya dalam ansur maju permainan ke kawasan ‘attacking thirds’.

Kemasukan Natxo Insa di separuh masa kedua

Kim Pan-Gon membuat keputusan untuk mengeluarkan Syamer Kutty yang bergelut dalam menyediakan perlindungan kepada barisan pertahanan di separuh masa pertama, dengan memasukkan Natxo Insa.

Malaysia juga mengubah struktur bertahan mereka daripada 5-3-2, kepada 5-4-1 yang tertumpu kepada ‘mid-to low blocks’ bagi mengekang tekanan lawan di separuh masa kedua.

Namun isu yang berlaku di separuh masa kedua tetap gagal dibendung dengan kemasukan Natxo Insa ini. Menerusi gambar di atas, Malaysia sedang bertahan di blok rendah dengan struktur 5-4-1.

Pengedaran bola yang dilakukan oleh Bahrain di bahagian sisi padang telah mencipta bukaan ruang ekoran kelewatan Natxo Insa untuk melakukan ‘shifting’ bagi mengimbangi struktur bertahan pasukan.

Bukaan ruang tersebut bijak dieksploitasi oleh Bahrain menerusi kombinasi permainan di antara Mohamed Marhoon dan Ali Madan, sebelum ianya dipatahkan oleh Dominic Tan.

Situasi pemain ‘pivot’ kita ditarik keluar oleh pemain Bahrain kekal menjadi isu yang tidak diselesaikan oleh pasukan Malaysia, apabila Natxo Insa kerap terperangkap dalam situasi sama yang dihadapi oleh Syamer Kutty di separuh masa pertama.

Situasi ini membolehkan pemain Bahrain untuk mengeksploitasi ruang di antara garisan.

Ruang di antara garisan ini memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pemain Bahrain dalam menilai setiap pilihan hantaran.

Ruang ini membantu mereka untuk mencipta peluang jaringan gol dengan lebih efektif.

Bahrain turut memperoleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol di hujung permainan dengan mengeksploitasi isu bertahan Malaysia yang berulang ini. Malaysia pada awalnya bertahan dengan ‘low blocks’ 5-4-1, sebelum Stuart Wilkin keluar untuk memberi tekanan kepada pemain lawan yang sedang memiliki penguasaan bola.

Romel Morales seharusnya melakukan ‘shifting’ bagi mengimbangi tindakan ‘pressurizing’ Wilkin. Kelewatan Stuart Wilkin dalam melakukan tekanan membolehkan hantaran dilakukan kepada Mahdi Al Humaidan.

Kegagalan Romel Morales melakukan ‘shifting’ bukan sahaja membuka lorong hantaran buat Bahrain, bahkan menyebabkan dirinya terlepas kawalan terhadap Ali Hasan Isa yang menyerang bukaan ruang yang ditinggalkan ole Shahrul Saad.

Ia membolehkan Ali Hasan untuk melakukan percubaan yang berjaya diselamatkan oleh Syihan Hazmi.

Keadaan ini diburukkan selepas pasukan melepaskan gol di penghujung permainan, terutamanya menerusi situasi bola mati.

Walau bagamanapun, tindakan meletakkan kesalahan ke atas pemain secara individu tidak seharusnya berlaku.

Ini kerana, bolasepak merupakan sukan kolektif, di mana setiap pemain mempunyai tanggungjawab dalam mengekalkan kejituan struktur pasukan bagi menghadapi fasa menyerang, bertahan serta transisi permainan.

Malaysia bakal berhadapan pasukan gergasi Korea Selatan dalam aksi pelengkap jadual Kumpulan E, di mana sebarang keputusan yang dicatatkan tidak akan mengubah nasib Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2023 ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram