Hasrat Malaysia untuk meraih mata pertama dalam kempen Piala Asia 2023 seakan sukar selepas tewas di kepada Bahrain dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Jassim bin Hamad sebentar tadi.
Malaysia turun ke padang dengan formasi 5-4-1 dengan beberapa pertukaran dilakukan jurulatih, Kim Pan-gon selepas kekalahan 0-4 kepada Jordan tempoh hari.
Perlawanan dimulakan dengan Bahrain dilihat mempamerkan penguasaan bola yang baik manakala Malaysia fokus untuk bertahan dan menunggu peluang bagi melancarkan serangan balas.
Peluang pertama Malaysia hadir seawal minit ke-6 melalui Dion Cools namun percubaan jarak dekat pemain Buriram United itu melambung tinggi.
Malaysia meneruskan tekanan kepada kubu Bahrain biarpun gagal mengekalkan kawalan bola dengan lebih lama.
Pada minit ke-15, Arif Aiman mempunyai peluang keemasan untuk meledak melalui rembatan dari luar kotak penalti namun kecemerlangan Ebrahim Lutfalla di gawang Bahrain menidakkan jaringan buat Malaysia.
Bahrain meneruskan penguasaan bola dengan pergerakan terarah kepada ayam tambatan mereka, Ali Madan. Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Malaysia membuat satu pertukaran dengan membawa masuk Natxo Insa bagi menggantikan Syamer Kutty Abba.
Kawalan bola menyaksikan lebih terarah kepada Bahrain dengan variasi hantaran yang tepat manakala Malaysia lebih banyak bertahan.
Peluang terbaik Bahrain hadir pada minit ke-59 melalui pemain gantian Abdulla Yusuf Helal yang berjaya melepaskan tandukan tajam dari jarak dekat namun ianya sedikit tersasar.
Bahrain mula memasukkan beberapa pemain di bahagian serangan dalam usaha mereka memburu gol pendahuluan.
Ketika perlawanan hampir ditamatkan dengan keputusan seri tanpa jaringan, Ali Madan menjadi wira Bahrain apabila meledak melalui satu rembatan leret dari luar kotak penalti sekali gus menghadiahkan tiga mata buat Bahrain.
Malaysia akan meneruskan aksi kumpulan dengan bakal berdepan ujian getir menentang Korea Selatan pada 25 Januari manakala Bahrain bakal bertemu Jordan pada tarikh yang sama.