Kapten Harimau Malaya, Dion Cools kini menjadi muka depan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika dunia menyambut kembalinya aksi bola sepak antarabangsa buat kali terakhir tahun ini.
Wajah yang cukup dikenali penyokong tempatan muncul dalam poster rasmi badan induk bola sepak dunia itu sekali gus membuktikan nama Harimau Malaya kini kembali mendapat perhatian di pentas global.
Kemunculan itu hadir selepas skuad kebangsaan mencipta kempen cemerlang di Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia. Malaysia menjadi satu-satunya pasukan yang menamatkan saingan tanpa kalah dan tanpa bolos sebarang gol.
Bermula dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, seri dengan Indonesia dan membelasah Singapura 6-0, dan kemudian menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menumpaskan Vietnam 1-0.
Cools merupakan antara tonggak utama yang membentuk benteng pertahanan kukuh sepanjang kejohanan sulung anjuran FIFA itu.
Kepimpinan beliau pada posisi pertahanan menjadi antara faktor utama skuad bimbingan jurulatih interim, Tan Cheng Hoe itu kekal tanpa bolos dalam setiap aksi yang dilalui.
Tonggak Cerezo Osaka itu juga terus menjadi pilihan utama bersama kelabnya di Jepun. Setakat ini, beliau telah beraksi dalam 14 perlawanan liga musim ini, kesemuanya sebagai pemain kesebelasan utama, dengan mencatat 1,260 minit permainan.
Ini bermakna beliau bermain penuh 90 minit dalam setiap perlawanan, satu bukti betapa pentingnya peranan beliau dalam sistem pertahanan pasukan itu walaupun belum mencatat sebarang gol atau bantuan jaringan.
Dalam tiga aksi terakhir, kapten Harimau Malaya itu turut beraksi dalam perlawanan sengit di Liga J1 dan Piala Liga Jepun. Beliau tewas 1-4 kepada Kashima Antlers pada 31 Oktober sebelum bangkit membantu Cerezo Osaka menumpaskan seteru sebandar, Gamba Osaka 3-2 dalam derbi Osaka pada 8 November dengan meraih penilaian 7.0.
Bagi misi bersama skuad negara, seramai 24 pemain disenaraikan untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa di China. Cheng Hoe mengekalkan 11 pemain yang meraih tempat ketiga di Piala ASEAN FIFA 2026, manakala buat julung kalinya dalam tempoh beberapa tahun, tiada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) disenaraikan.
Skuad Harimau Malaya yang melapor diri pada petang Isnin, 9 November 2026 telah berlepas ke China pada pagi Selasa, 10 November 2026, dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Daerah Baharu Zhaoqing.
Sementara itu, FIFA menerusi hantaran rasminya mengumumkan bahawa bola sepak antarabangsa kembali beraksi, menandakan bermulanya jendela perlawanan antarabangsa terakhir bagi tahun 2026.
Poster yang menampilkan deretan bintang dan legenda dari serata dunia itu turut memaparkan tonggak pertahanan negara tersebut dengan jersi kuning hitam bernombor 21 lengkap berlilit lengan kapten dan berdiri sebaris dengan nama-nama besar bola sepak dunia.
Bagi peminat tempatan, kemunculan itu bukan sekadar kebanggaan, tetapi suntikan semangat buat Harimau Malaya untuk membuktikan kebangkitan mereka bukan kebetulan. Cabarannya juga tidak mudah.
Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia kini berada di tangga ke-133 dunia, China di tangga ke-96 dunia, manakala Yemen di tangga ke-144 dunia.
Harimau Malaya akan memulakan misi dengan menentang tuan rumah China pada Sabtu, 14 November 2026 bermula jam 8.00 malam. Skuad negara kemudian berdepan Yemen pada Selasa, 17 November 2026 yang dijadualkan bermula jam 2:00 petang. Kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Daerah Baharu Zhaoqing.


