Harimau Malaya

Potensi Trio Serangan Harimau Malaya Hadapi China

Malaysia China Potensi Trio Serangan Harimau Malaya Hadapi China
Malaysia NT
Advertisements

Harimau Malaya berpotensi mempertaruhkan gabungan trio serangan terbaik menjelang aksi pertama persahabatan Tier 1 FIFA bertemu China, Sabtu ini.

Skuad kendalian ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe tiba di Guangdong dengan keyakinan tinggi selepas menamatkan Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta di tempat ketiga tanpa kalah, hasil tiga kemenangan dan satu seri serta 10 gol tanpa dibolosi.

Barisan kejurulatihan kini mencari kombinasi terbaik dalam masa yang singkat, terutamanya di bahagian serangan.

Antara calon trio yang berpotensi diturunkan pada sebelah kiri ialah G. Pavithran. Tonggak Terengganu FC itu cemerlang di Piala ASEAN Hyundai 2026 dengan dua bantuan gol ketika Harimau Malaya membelasah Laos 4-0, sebelum menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Filipina.

Beliau mengekalkan prestasi itu di Piala ASEAN FIFA 2026 dan meraih panggilan ketiga ke skuad kebangsaan. Kepantasan dan keberanian beliau ketika berdepan pemain lawan dijangka menjadi senjata penting untuk membuka ruang benteng pertahanan China.

Sayap kanan pula boleh diisi Ramadhan Saifullah, yang bera dalam kemuncak beraksi bersama Kuching City. Pemain kelahiran Johor Bahru itu tonggak utama ketika The Cats menamatkan Liga Super 2025-26 di tangga kedua, kedudukan terbaik dalam sejarah kelab.

Beliau menyumbang sembilan gol dan 12 bantuan gol dalam semua pertandingan. Momentum itu berterusan pada musim baharu apabila beliau membawa Kuching City ke pentas akhir Piala FA 26-27, menewaskan Selangor FC.

Barisan hadapan menyaksikan tonggak berpengalaman, Paulo Josue masih sukar diketepikan. Kapten Kuala Lumpur City FC itu sudah beberapa kali muncul wira kelab pada awal musim ini. Beliau menjaringkan gol pada babak kecederaan untuk menundukkan DPMM FC 1-0 dan meledak dua gol ketika City Boys bangkit menewaskan Kelantan Red Warrior 3-1.

Pemain berusia 37 tahun itu juga menjaringkan penalti kemenangan ketika KL City menewaskan Perak 1-0 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala FA.

Pemain kelahiran Brazil itu turut kekal berbisa bersama skuad kebangsaan, dengan menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir yang diturunkan. Beliau menjaringkan gol ketika Harimau Malaya menewaskan Myanmar 2-1 dan Laos 4-0 di Piala ASEAN Hyundai 2026 pada Julai lalu, sebelum menjaringkan gol penting pada kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura di Piala ASEAN FIFA 2026.

Jika diturunkan serentak, trio ini menawarkan keseimbangan yang menarik – kelajuan dan kreativiti di kedua-dua sayap, dengan ketenangan seorang veteran di tengah.

Ujian di Zhaoqing bagaimanapun bukan calang-calang. Malaysia gagal menang dalam lima pertemuan terakhir menentang China sejak 2004, dengan tiga kekalahan dan dua seri, termasuk keputusan 1-1 di Chengdu tiga tahun lalu.

Perlawanan pertama bertemu China pada Sabtu, 14 November 2026 akan berlangsung pada jam 8.00 malam dan perlawanan kedua menentang Yemen pada Selasa, 17 November 2026 dijadual pada jam 2.00 petang. Kedua-dua perlawanan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre.

Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia kini berada di tangga ke-133 dunia, China di tangga ke-96 dunia manakala Yemen di tangga ke-144 dunia.