Negeri Sembilan Rekrut Bekas Tonggak Fulham, Aboubakar Kamara
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Bekas penyerang Fulham, Aboubakar Kamara menjadi tonggak import terbaru skuad Negeri Sembilan FC.

Perpindahan penyerang berusia 31 tahun itu diumumkan pengurusan Hoben Jang Hoben di semua platform rasmi pasukan itu.

“Pengalaman luas di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), kancah Eropah, dan saingan Asia kini secara rasmi berlabuh di bumi Tanah Beradat.

“Negeri Sembilan FC dengan ini memperkenalkan penyerang berbisa antarabangsa Mauritania, Aboubakar Kamara sebagai sandaran baharu jentera serangan skuad Jang!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selepas perpindahan itu disahkan, Kamara berharap dapat memberi suntikan semangat dan pengalaman buat Negeri Sembilan.

“Saya di sini untuk membawa pengalaman saya, memberi inspirasi kepada orang di sekeliling saya dan membina sesuatu yang istimewa untuk kelab ini dan para penyokong,” katanya.

Kamara bukan asing dengan bola sepak Asia kerana beraksi untuk Al-Jazira (Emiriah Arab Bersatu (UAE)), Sepahan (Iran) dan Kanchanaburi Power FC (Thailand).

Kamara juga memiliki pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan Mauritania. Beliau kini memiliki 26 penampilan dan lapan gol di peringkat antarabangsa.

Kehadiran bekas penyerang AS Monaco itu dilihat tonik buat jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Gimenez. Ini kerana beliau terpaksa melupakan khidmat penyerang Jepun, Mio Tsuneyasu yang berehat panjang selepas menjalani pembedahan.