Pemain sayap Kuching City FC, Safawi Rasid mendedahkan beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya, baru-baru ini.
Skuad kebangsaan kini berkampung di China sebagai persiapan menghadapi dua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1. Bagaimanapun, kepulangan mengejut pemain berusia 29 tahun itu ke tanah air mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong.
Menjawab persoalan tersebut, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tampil menjelaskan perkara sebenar menerusi hantaran di akaun Threads miliknya.
Beliau menegaskan keputusan itu tidak dibuat sesuka hati dan ada perkara yang tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia, ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tak boleh cerita. Setakat ni saya tak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya,
“Alhamdulillah. Sarung baju hitam kuning adalah kebanggaan saya,” tulisnya.
Hantaran tersebut turut disertakan tanda pagar #familysafetyfirst, memberi isyarat bahawa keselamatan dan kebajikan keluarga menjadi keutamaan pemain kelahiran Terengganu itu ketika ini.
Sebelum itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Safawi pulang ke tanah air pada Khamis, 12 November 2026 selepas memaklumkan masalah yang dihadapinya kepada Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Jurulatih berpengalaman itu menyatakan bahawa pihak pengurusan pasukan memberikan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.
“Pihak pengurusan pasukan kebangsaan memahami situasi yang dihadapi Safawi dan kami menghormati keputusan beliau untuk pulang ke Malaysia atas sebab urusan keluarga,” kata Cheng Hoe dalam satu kenyataan.
Tanpa khidmat penyerang sayap berpengalaman itu, Harimau Malaya bakal meneruskan perjuangan menentang tuan rumah China pada Sabtu, 14 November 2026 jam 8.00 malam (waktu Malaysia) sebelum berdepan Yemen pada Selasa, 17 November 2026, jam
2.00 petang.
Kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.
Walaupun ketiadaan beliau sedikit sebanyak menjejaskan perancangan skuad kebangsaan, kenyataan pemain itu jelas menunjukkan komitmennya terhadap Harimau Malaya tidak pernah luntur.


