Pemain pertahanan kebangsaan, La’Vere Corbin Ong percaya Malaysia berada di landasan tepat untuk kembali memberi cabaran di peringkat antarabangsa.
Pandangan itu disuarakan bek kiri berusia 35 tahun itu apabila diminta mengulas pencapaian Malaysia dalam saingan FIFA ASEAN Cup baru-baru ini.
Meskipun menduduki tempat ketiga, Harimau Malaya menamatkan kempen kejohanan dengan rekod tanpa kalah dan tidak dibolosi dalam empat perlawanan.
Kini, fokus Malaysia beralih kepada dua aksi persahabatan menentang China dan Yaman pada November ini. Corbin percaya jika Harimau Malaya meneruskan kemajuan di bawah bimbingan jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, pasukan itu dijangka lebih mantap selepas ini.
“Kita berada di landasan tepat dan kita harus maju ke hadapan. Kita akan bangkit lebih kuat untuk bersaing dalam kelayakan Piala Dunia. Kita akan lebih bersedia, lebih mantap dan lebih kuat,” katanya kepada FIFA.com.
Corbin turut mendedahkan mentaliti yang dimiliki barisan pemain negara menjadi kunci pasukan itu kekal tanpa tewas dan bolos sepanjang kejohanan.
“Saya fikir mentaliti pasukan kita ialah siapa saja lawan dan di mana kita akan bermain, kita akan sentiasa berikan yang terbaik kepada negara,” ujar pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
“Kita mahu negara kita dan orang kita bangga dan para pemain membawa semangat itu dalam diri mereka. Jadi, tidak sukar untuk kita bangun dan fokus kepada perlawanan yang ada.”
Selain membantu Harimau Malaya meraih tempat ketiga dengan menumpaskan Vietnam, Corbin juga mendapat anugerah istimewa iaitu cahaya mata bersama isteri tercinta.