Liga Super
Selangor
Advertisements

Selangor FC melalui empat perlawanan terakhir Liga Super di bawah kendalian Tan Chen Hoe dengan agak bergaya. Mereka menang tiga daripada empat, seri sekali; mencatat 8 jaringan dan 1 bolos.

Membaham Melaka United 4 – 0, mengatasi PJ City FC dengan jaringan 1 – 0; menewaskan Sarawak United 1 – 0 dan seri dengan Penang FC dengan jaringan 1 – 1 ketika beraksi 10 pemain sepanjang kurang lebih 60 minit apabila Sharul Nazeem mengutip kad merah.

Mengkaji dan meneliti empat perlawanan tersebut; di sini saya bentangkan kekuatan Selangor FC versi Tan Cheng Hoe dan juga kelemahan mereka berserta cadangan penambahbaikan demi mendapatkan sebuah pasukan yang mampu memberikan saingan pada musim hadapan.

Advertisements

Kekuatan Selangor FC

  1. Kestabilan Back 4

Sejak Cheng Hoe mengambilalih, mula kelihatan perubahan di barisan pertahanan Selangor FC. Paling menarik perhatian saya adalah kesefahaman antara Yazan Al-Arab dengan Sharul Nazeem.

Sharul Nazeem sendiri pada pandangan saya memiliki pakej lengkap sebagai seorang Centre Back moden – pembacaan permainan yang sangat baik, melakukan tugas covering dan recovery run dengan hampir sempurna dalam tiga perlawanan tersebut, berlari menyerang ruang di hadapan jika ada kesempatan dan sentiasa ingin memainkan progressive pass demi merencanakan serangan.

https://www.youtube.com/watch?v=vGjpOa2EaNg

Sementara Yazan pula lebih kepada ‘safety first’ – sentiasa lebih belakang daripada Sharul Nazeem dalam banyak situasi dan pantas menutup ruang jika Sharul Nazeem ‘terpancing’ keluar mengikuti penyerang pasukan lawan.

Advertisements

Dua pemain ini juga cukup sabar dalam fasa Playing Out from the Back. Seringkali dapat dilihat mereka bertukar hantaran secara horizontal; tidak terburu menghantar bola ke hadapan dan menanti pemain Midfiled menempatkan diri mereka Between the Lines sebelum melepas bola.

https://www.youtube.com/watch?v=2Fe6cwOnJ9U

Bagi Fullback pula, Fazly Mazlan (Left Back) dan Quentin Cheng (Right Back) bermain seperti selayaknya Fullback moden beroperasi.

Mereka berdua tidak terlalu Offensive dengan Overlapping atau Underlapping Run; cukup melakukan gerakan itu jika situasi benar-benar mengizinkan.

Advertisements

Mereka berdua bijak memposisikan diri di dalam koridor berdasarkan pergerakan bola dan juga pergerakan pemain Wing Forward di hadapan mereka serta situasi di seberang (Ball Far Side).

Contohnya seperti di dalam rajah di bawah.

fazly mazlan half space [Analisis Video] Selangor FC Di Bawah Kendalian Tan Cheng Hoe: Kekuatan & Kelemahan

Fasa Attacking Organization: Jika Quentin terlibat dalam binaan serangan di sisi bola (Ball Near Side) dan mengisi koridor Wide Area, maka Fazly Mazlan akan bersedia di Half Space Ball Far Side sama ada untuk jadi ‘Linker’ ketika Switch Play terjadi atau untuk menutup jalur Half Space daripada eksploitasi Counterattack lawan.

Advertisements

Fasa Attacking Organization: Jika Fazly Mazlan terlibat dalam binaan serangan di sisi bola (Ball Near Side), Quentin akan bersedia di Half Space Ball Far Side. Di sini Fazly turut berada di Half Space Ball Near Side kerana sudah ada Nor Hakim mengisi koridor Wide Area.

  1. Rotating Three’ di Bahagian Midfield

Ini mungkin senjata terkuat Selangor FC. 3 Pemain Midfield yang saling melakukan Rotation sesama meraka dalam janaan serangan – memastikan tiada koridor atau titik posisi yang tidak diisi, memberikan fluidity kepada pasukan dalam fasa Attacking Organization.

Dalam perlawanan menentang Melaka United, Selangor FC meletakkan gandingan Mukhairi Ajmal-Brendan Gan-Alex Agyarkwa.

Terlihat dalam perlawanan ini Selangor FC seolah-olah tidak bermain dengan Pure Defensive Midfielder apabila tiga permain ini kerap sekali melakukan Rotation.

Seketika Alex Agyarkwa yang berada di bawah segitiga tersebut (sebagai no.6), kemudian Brendan Gan pula dan tidak lama kemudian; berdasarkan pergerakan bola dan respon Brendan serta Alex, Mukhairi pula yang berada di situ sebagai no.6 sebelum Rotation terjadi lagi dan lagi.

Rotation yang kerap terjadi jika Brendan Gan mengisi no.6

Rotation ini terjadi dengan sangat natural dan pantas, memberikan kekeliruan kepada pasukan lawan; kerana Brendan secara naluri gemar melakukan Third Man Running meninggalkan posisi beliau di no.6 yang pantas diisi Alex. Jika Alex yang melakukan larian, tempat tersebut pantas diisi Mukhairi atau Brendan.

Jika Baha’ Abdel-Rahman yang mengisi posisi no.6 seperti dalam perlawanan menentang PJ City dan Sarawak United, Rotation tersebut agak jarang terjadi kerana naluri Baha’ sendiri gemar berada di belakang bola dan tidak terlalu suka membuat larian ke hadapan seperti Brendan dan Alex.

Baha’ yang lebih gemar berada di bawah Triangle, sentiasa di belakang bola.

Baha’ lebih memanfaatkan kelebihan beliau dalam mendistribusi bola ke sisi kiri dan ke sisi kanan padang dengan Diagonal Ball dan pantas menutup ruang untuk melindungi Back 4.

https://www.youtube.com/watch?v=MflTAedO-Ho
https://www.youtube.com/watch?v=os4AyWbiR1Y

Namun itu tidak mengapa kerana setidaknya; ia memberikan varian pilihan permainan kepada Cheng Hoe sama ada untuk stabil dengan bertahan atau untuk ‘cair’ dalam melakukan serangan.

  1. Pemain Dengan Abiliti Teknikal Tinggi

Cheng Hoe sangat bertuah memiliki pemain yang berteknikal tinggi seperti Mukhairi Ajmal. Kapten Skuad Harimau Muda ini pada pandangan saya merupakan seorang pemain yang cukup versatile.

Beliau boleh bermain di banyak posisi di bahagian serangan – LCM atau RCM, SS, RWF atau LWF.

Jika Cheng Hoe memainkan Aliff Haiqal di posisi CM (LCM atau RCM), beliau akan ‘menolak’ Mukhairi beraksi di posisi WF (LWF atau RWF).

Perkara ini jelas berbaloi apabila Mukhairi melakukan satu assist cantik yang disudahkan Daniel Asri dalam perlawanan menentang PJ City ketika Selangor FC agak buntu mencari gol.

Mukhairi sangat memahami tuntuan taktikal. Beliau juga gemar melakukan Third Man Running seperti Brendan; memiliki rembatan kaki kanan yang cukup baik dan kencang (gol bertemu Melaka United) serta dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan sudut dan sepakan percuma.

Jika ada satu kelemahan Mukhairi dalam aspek serangan; ia mungkin berkaitan dengan Decision Making di Final Third (contoh: situasi sepatutnya harus cepat melepaskan hantaran tetapi beliau malah memegang bola atau sebaliknya).

Namun semua itu cuma masalah masa sahaja. Saya yakin jika Mukhairi terus bermain dan diberikan peluang serta tidak ditimpa kecederaan serius (berdoa agar tidak), masa pasti mendewasakan beliau.

Bukan cuma Mukhairi, pemain seperti Brendan Gan juga memiliki abiliti teknikal tinggi. Brendan mampu beraksi dengan baik sebagai no.6 mahupun sebagai no.8.

Malah, jarang dilihat seorang pemain no.6 (jika Brendan bermula di posisi itu) yang bermain dengan dinamika menyerang setara dengan tuntutan tugas bertahan. Ini dibuktikan dengan jumlah jaringan beliau setelah kembali daripada proses pemulihan kanser.

https://www.youtube.com/watch?v=Rq8MGe6KXBU

Tidak cuma Mukhairi dan Brendan; pemain-pemain seperti Hein Htet Aung, Aliff Haiqal; Azrin Afiq dan beberapa lagi turut memiliki abiliti teknikal yang bagus.

Jika Cheng Hoe bijak meramu taktikal untuk dijayakan para pemain berteknikal tinggi ini, saya pasti Selangor FC mampu mencabar.

  1. Pemain Simpanan yang Boleh Beraksi Baik

Tidak dinafikan; Selangor FC memiliki kualiti pemain simpanan yang tidak kalah baik daripada pemain utama.

Daniel Asri untuk Herlison Caion, Zikri Khalili untuk Quentin Cheng atau untuk Fazly Mazlan; Syahir Bashah untuk Nor Hakim Hassan.

Aliff Haiqal sering masuk untuk menggantikan pemain CM sama ada Brendan Gan atau Alex Agyarkwa; Harith Haiqal untuk Yazan Al-Arab atau Sharul Nazeem.

Tambah menarik apabila kebanyakan pemain simpanan Selangor FC adalah para pemain yang sudah bermain mewakili Harimau Muda di kejohanan-kejohanan besar dan sudah memiliki pengalaman bermain di peringkat tertinggi.

Justeru; tidak kekok jika mereka masuk sebagai pemain simpanan dan dituntut mengubah situasi di dalam padang atau kadangkala diberikan peluang sebagai kesebelasan utama menggantikan pemain inti yang dilanda kecederaan.

Kelemahan Selangor FC  

Ini bukanlah kelemahan fatal. Ia cuma kelemahan kecil dan boleh segera diperbaiki (berserta cadangan mengatasinya di sini) demi menambah kualiti skuad Selangor Tan Cheng Hoe ini.

  1. Cengkaman Perlawanan yang Kadangkala ‘Longgar’

Perkara ini terjadi dalam empat perlawanan tersebut. Saya tidak pasti jika ia berkaitan dengan corak permainan Selangor FC kini dan kemungkinan besar Cheng Hoe dalam proses adaptasi-revolusi untuk mengubahnya.

Corak permainan Selangor FC kini yang saya maksudkan adalah tiadanya “keagresifan” dalam memenangi semula bola ketika penguasaan bola bertukar kepada pihak lawan. Para pemain Selangor FC selesa untuk terus masuk ke dalam Lines atau ke dalam Defensive Organization.

Counterpressing jarang terjadi dan ini membuatkan kadangkala lawan mereka memegang bola dengan selesa dan lama dalam fasa Ball Possession Opponent (BP0); ketika pemain Selangor FC bertahan dalam Lines.

Itu yang saya maksudnya dengan longgarnya cengkaman mereka.

Perkara ini tiada salahnya namun saya percaya dengan kualiti pemain yang Cheng Hoe miliki, beliau seharusnya boleh bermain Counterpressing – membuatkan lawan tidak selesa memegang bola, terus menekan lawan setelah hilang bola dan cuba memenangi kembali penguasaan di dalam half lawan.

  1. Sistem Pressing yang Masih Belum Ditetapkan

Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan perkara pertama. Selangor FC gemar menanti di tengah padang untuk mula menekan lawan, atau kadangkala ketika lawan melepasi half line; membiarkan lawan selesa dengan bola – ia sebenarnya refleksi kepada perkara pertama.

Tiada corak High Pressing diterapkan; ketika sekali lagi saya percaya bahawa barisan pemain dengan abiliti teknikal dan stamina tinggi yang dimiliki Cheng Hoe ini sebenarnya mampu menjayakan ia, membuat lawan ‘merana’ melepasi half line.

Dalam empat perlawanan tersebut, di banyak situasi mereka seperti hanya ‘melepaskan’ Caion sebagai First Presser tanpa diikuti dan disokong oleh Second Presser dan Third Presser. Jarak antara Caion dengan pemain lain di belakang beliau terlalu jauh.

Pada pandangan saya; situasi ini agak merugikan apabila Selangor FC membiarkan lawan dengan senang memainkan bola kepada pemain pivot lawan tanpa tekanan.

  1. “Terlalu Berhati-hati” dalam Janaan Serangan

Sekali lagi, perkara ini tidak terlalu fatal dan Cheng Hoe mungkin ‘menahan diri’ dalam empat perlawanan awal.

Tetapi sebenarnya ia berkaitan dengan situasi di koridor Half Space dan Wide Area sisi kiri atau sisi kanan padang yang pada pandangan saya seharusnya lebih ‘meriah’.

Seperti di awal saya nyatakan; Fullback Selangor FC tidak terlalu ghairah dengan Overlapping atau Underlapping Run. Quentin Cheng sedikit lebih offensive berbanding Fazly Mazlan.

Namun saya secara peribadi inginkan lebih lagi – Combination Play dan eksplorasi-eksploitasi ruang yang lebih berani di situ.

Quentin dan Fazly boleh lebih berani ke hadapan sama ada melalui Half Space atau melalui Wide Area (tidak semestinya melakukan larian).

Ini kerana jika dibandingkan dengan JDT atau Terengganu FC, pemain Wing Forward Selangor FC tidak selaju dan seagresif dua pasukan tersebut.

Justeru; keberanian dan keyakinan Fullback dalam membantu janaan serangan amat diperlukan, ketika saya percaya Defensive Line akan dikendalikan dengan baik gandingan Sharul Nazeem-Yazan dan akan dilindungi oleh sama ada Baha atau Brendan.

Pasti akan lebih mematikan jika eksplorasi-eksploitasi ruang di Half Space dan Wide Area digunakan sebaiknya Selangor FC kerana mereka memiliki enjin yang baik di tengah (Rotating Midfield mereka) dan Caion yang gemar Drop Between the Lines untuk terima bola.

Andai Selangor FC ingin membawa masuk pemain baharu untuk menghadapi musim hadapan; cadangan saya adalah mendapatkan seorang pemain Wing Forward yang laju, agresif; gemar dan selesa dengan gerakan Cut Inside.

Bukan untuk meniru JDT atau Terengganu FC, tetapi ia sudah jadi tuntutan taktikal jika Cheng Hoe ingin menjadikan 4-3-3 sebagai formasi-sistem utama Selangor FC.

  1. Agak Buntu Memecahkan Mid Block atau Low Block Lawan

Dalam perlawanan menentang PJ City dan Sarawak United (Sarawak United lebih jelas dengan Mid Block kompak mereka), Selangor FC agak sukar memecah kebuntuan.

Perkara ini mungkin berkaitan dengan tiga perkara yang boleh Cheng Hoe perbaiki atau perkasakan di atas.

Mungkin jika tiga perkara di atas diatasi atau diperbaiki oleh Cheng Hoe, kebuntuan memecahkan Mid Block atau Low Block lawan secara automatiknya dapat sama diatasi secara sistem dan bukannya mengandalkan Individual Brilliance pemain semata-mata (walaupun itu tidak salah).

Penutup

Tulisan ini hanya pendapat peribadi saya. Saya akui; saya teruja apabila Tan Cheng Hoe mengambilalih Selangor FC yang sebelum ini ‘terperangkap dalam jerat DNA Jerman’.

Meneliti dan mengkaji corak permainan Selangor FC dalam empat perlawanan awal di bawah kendalian Cheng Hoe, terdapat banyak sekali perkara positif yang dapat dilihat.

Sama seperti harapan saya kepada pasukan-pasukan lain di Liga Super (Sabah FC, Terengganu FC dan kini Selangor FC), saya tetap berharap ada pasukan yang mampu memberikan saingan serta kesukaran kepada JDT pada musim hadapan. 

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram