Jaguh perseorangan lelaki Denmark, Anders Antonsen berharap dapat berlatih dengan rakan seperjuangan dari Malaysia, Lee Zii Jia.
Peminat dunia badminton amat mengetahui persahabatan yang terjalin antara kedua-dua pemain itu.
Malah, apabila Antonsen terpaksa mengundur diri akibat kecederaan semasa menentang Zii Jia di Terbuka Artik 2023, pemain nombor sembilan dunia itu bertanyakan keadaan dirinya selepas perlawanan.
Kini, Antonsen berharap dengan berlatih bersama Zii Jia, ini dapat mempersiapkan beliau untuk kejohanan Jelajah Dunia Final BWF yang berlangsung pada bulan hadapan.
“Sudah tentu, kalau Zii Jia ada kelapangan. Dia pastinya sedang berlatih tapi kami sedang berhubung.
“Dia boleh membantu saya dalam banyak hal dan ia sesuatu yang bagus. Saya sudah banyak kali berada di Kuala Lumpur.
“Saya tahu tempat makan dan minum yang boleh saya kunjungi lagi. Saya juga bercadang mencuba sesuatu yang baru dan berjalan-jalan di sini.
“Bagaimanapun, saya juga akan sibuk dengan latihan. (Kunjungan kali ini) bukanlah satu percutian tapi saya mahu mengambil kesempatan untuk meluangkan masa di sini,” katanya hari ini.
Tahun 2023 menyaksikan Antonsen bergelar juara Terbuka Korea pada Julai lalu.