Apa Akan Jadi Jika JDT Kalahkan Sanfrecce Hiroshima Sekali Lagi?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Seandainya Johor Darul Ta’zim (JDT) berhasil mengalahkan Sanfrecce Hiroshima di pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE), senario dan rekod hebat bakal tercatat.

JDT dan Sanfrecce Hiroshima kembali bersemuka untuk kali ke-3 dalam saingan ACLE musim ini dengan skuad Harimau Selatan kini memiliki kelebihan agregat 3-1 selepas menang minggu lalu.

Kemenangan epik di hadapan lebih 30 ribu penonton itu turut menyaksikan JDT ketika ini cuma selangkah sebelum melakar sejarah baharu namun baki 90 minit akan menjadi detik-detik mendebarkan.

Jika keputusan agregat berjaya dipertahankan memihak JDT, pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini bakal mara ke suku akhir ACLE buat pertama kalinya dalam sejarah kelab.

Untuk rekod, pencapaian terbaik JDT beraksi di kejohanan tertinggi kelab Asia ini adalah layak ke pusingan 16 terbaik musim lalu dan kini kejayaan itu diulangi dengan misi untuk melangkah lebih jauh.

Selain itu, JDT juga bakal melebarkan rekod kemenangan ke atas Sanfrecce Hiroshima selepas kedua-dua kelab masing-masing menang sekali dalam dua pertemuan lalu seandainya kejayaan milik wakil negara ini.

Anak-anak buah Xisco Munoz turut berpeluang mencatatkan kemenangan sulung JDT di bumi Jepun selepas 3 kemenangan ke atas wakil Negara Matahari Terbit sebelum ini hanya diraih di laman sendiri.

Di sebalik senario dan jangkaan ini, JDT sudah tentunya tidak boleh terleka selepas mengambil kira faktor penyokong yang akan memberikan sorakan padu kepada Sanfrecce Hiroshima pada aksi ini.

Aksi antara Sanfrecce Hiroshima vs JDT akan berlangsung hari ini di Edion Peace Wing Hiroshima tepat jam 6 petang waktu Malaysia.