Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia berjaya mara ke final Arctic Open 2023 selepas lawannya, Anders Antonsen menarik diri akibat kecederaan.
Kelebihan tampak memihak Antonsen atas kertas kerana memiliki empat kemenangan ke atas Zii Jia daripada lima pertemuan mereka sebelum ini.
Set pertama menyaksikan Zii Jia meraih kelebihan awal dengan mendahului pada kedudukan 7-4.
Biarpun Antonsen berjaya merapatkan jurang pada kedudukan 15-14, anak jati Alor Setar, Kedah itu memastikan kemenangan 21-17.
Set kedua menyaksikan keyakinan terus ditampilkan Zii Jia untuk mendominasi lawannya dari Denmark itu.
Begitupun, perlawanan dihentikan seketika apabila pengadil mengesan air di gelanggang akibat bumbung Energia Areena yang bocor.
Sebaik perlawanan bersambung, Zii Jia terus mendahului pada kedudukan 13-8. Kemudian, Antonsen memilih menarik diri selepas mengalami kecederaan pada bahagian lutut.
Ini sekaligus membenarkan perseorangan negara itu mara ke final tanpa perlu bermandi peluh.
Kemenangan hari ini memastikan Zii Jia bertemu dengan rakan senegara dan pemain nombor 10 dunia, Ng Tze Yong di pentas final esok. Ini aksi final pertama buat beliau untuk tahun 2023.