Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah kempunan meraih gelaran juara kedua tahun 2024 apabila sekadar menjadi naib juara Arctic Open 2024.
Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan beregu kedua dunia dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning di pentas final kejohanan.
Selepas berjaya menyingkirkan regu Jepun, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi di peringkat separuh akhir, Pearly-Thinaah mengintai satu lagi kejuaraan jelajah Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) tahun 2024.
Walau bagaimanapun, Sheng Shu-Tan Ning menjadi penghalang antara mereka dan gelaran juara Arctic Open 2024. Beregu China itu mahu menjadikan perlawanan ini sebagai medan membalas dendam selepas tewas dalam saingan final Hong Kong Open 2024.
Kejohanan itu menyaksikan Sheng Shu-Tan Ning terpaksa akur dengan Pearly-Thinaah dengan keputusan 21-14, 21-14.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu saling bersaing untuk mendapatkan mata. Rentak regu negara sedikit terganggu apabila bulu tangkis terkena mata Thinaah.
Permainan agresif dan pantas yang dipamerkan Sheng Shu-Tan Ning menyaksikan mereka mendahului pada kedudukan 15-10. Kedudukan itu terus dipertahankan beregu China itu sebelum menang dengan keputusan 21-12.
Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah berusaha memberi tentangan sengit kepada juara Japan Open 2024 itu. Pada satu ketika, kedua-dua beregu terikat pada kedudukan 12-12.
Walau bagaimanapun, beberapa kesilapan yang dilakukan naib juara Korea Open 2024 itu membuka ruang kepada Sheng Shu-Tan Ning mendahului pada kedudukan 18-16. Kedudukan itu terus dipertahankan sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-17.
Kemenangan ini menyaksikan Sheng Shu-Tan Ning meraih hadiah kemenangan bernilai AS$33,180 (RM142,000). Manakala Pearly-Thinaah pula membawa pulang hadiah naib juara bernilai AS$15,960 (RM68,000).