Hasrat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke suku akhir Arctic Open tidak kesampaian setelah tumpas kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy pada Khamis.
Meskipun berehat panjang sebelum ini, namun itu bukanlah penghalang buat Aaron-Wooi Yik tampil hebat menyingkirkan wakil China pada Rabu untuk bertemu Ben Lane-Sean Vendy.
Ini merupakan pertemuan ke-7 antara kedua-dua pasangan dengan kali terakhir mereka bertemu ketika aksi peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris yang dimenangi Aaron-Wooi Yik.
Perlawanan bermula baik buat Lane-Vendy yang mengasak beregu negara dengan pukulan-pukulan smash kencang untuk meninggalkan Aaron-Wooi Yik 11-4 ketika interval.
Meskipun ketinggalan, pasangan negara tampak berusaha untuk menyaingi serangan lawan dengan pukulan defensif yang baik namun terpaksa akur tumpas di set pertama.
Kembali ke set kedua, aksi lebih sengit dipamerkan kedua-dua pasangan dengan Lane-Vendy yang berada di ranking ke-16 dunia diberi tentangan hebat oleh wakil negara ini.
Namun, pertahanan Aaron-Wooi Yik gagal menyerap asakan bertubi-tubi lawan selain kesilapan kecil yang menyumbang mata buat pasangan England ini untuk muncul pemenang.
Aksi di gelanggang tiga berakhir dengan keputusan 21-13, 21-8 memihak Ben Lane-Sean Vendy.
Dengan kemenangan ini, Ben Lane-Sean Vendy melangkah ke suku akhir Arctic Open dan akan bertemu pemenang di antara beregu Jepun atau wakil dari Thailand pada Jumaat.