Arema Jadi Pilihan 3 Bekas Tonggak Terengganu
MakanBola
Arema FC

Tiga bekas tonggak import Terengganu FC kini menyarung jersi kelab Indonesia, Arema FC.

Tiga pemain tersebut ialah Careca, Diego Landis dan Gabriel Silva. Silva membawa haluan ke Indonesia dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) pada Januari lalu.

Careca dan Landis pula memilih menyertai Arema selepas tidak dikekalkan Peteh untuk kempen musim 2026/27.

Apa yang menarik ialah mereka bakal berentap dengan beberapa bekas bintang import yang pernah mewarnai Liga Super. Ini termasuk bekas rakan sepasukan di Terengganu, Yann Mabella.

Mabella dan bekas penyerang DPMM FC, Ramadhan Sananta kini mewakili Persebaya Surabaya. Seorang lagi bekas peledak Terengganu, David da Silva pula kini mewakili Malut United.

Juara liga Indonesia, Persib Bandung pula memiliki khidmat bekas kapten Perak FC, Luciano Guaycochea dan bekas pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani.

Justeru, kehadiran trio ini dijangka ditagih Arema untuk memperbaiki kedudukan liga musim ini. Musim 2025/26 menyaksikan Arema menamatkan musim di tangga kesembilan.