Argentina Bakal Rehatkan Lionel Messi
MakanBola
Seleccion Argentina

Argentina bakal merehatkan Lionel Messi menjelang aksi terakhir Kumpulan J Piala Dunia 2026.

Perkara ini disahkan jurulatih La Albiceleste, Lionel Scaloni apabila ditanya tentang perancangan pasukan itu bila turun menentang Jordan.

Meskipun tidak beraksi dalam kesebelasan utama, Scaloni memaklumkan Messi akan diturunkan pada separuh masa kedua bagi mendapatkan minit permainan.

“Leo (Messi) akan menjadi pemain gantian (untuk perlawanan) esok, akan mula (beraksi) kemudian. Kita akan umumkan senarai pasukan esok,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Scaloni turut menegaskan aturan ini tidak kena-mengena dengan siapa lawan yang akan dihadapi Argentina di pusingan 32 pasukan terbaik.

Semakan carta pusingan 32 pasukan terbaik menyaksikan Argentina bakal berdepan naib juara Kumpulan H. Persaingan dalam kumpulan itu masih terbuka dengan Sepanyol, Uruguay atau Cape Verde berpotensi muncul sebagai juara dan naib juara kumpulan.

“Keputusan siapa yang akan bermain esok tiada kaitan dengan siapa yang akan bermain dalam perlawanan seterusnya (aksi pusingan 32 pasukan terbaik),” tambahnya.

Scaloni menambah tidak kira siapa pemain yang akan beraksi pada hari esok, mereka akan berjuang mendapatkan kemenangan untuk Argentina.

Argentina layak lebih awal selaku juara Kumpulan H. Lima gol pasukan itu disumbang oleh Messi yang juga penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.

Legenda Barcelona itu juga turut memintas rekod legenda Jerman, Miroslav Klose untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia.