Arif Aiman Cemerlang Galas Tugas Besar Di Bawah Era Kim Pan-gon

Arif Aiman Harimau Malaya Arif Aiman Cemerlang Galas Tugas Besar Di Bawah Era Kim Pan-gon
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
9:22pm 01/04/2022

Pemain sayap pasukan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan apabila menjadi watak penting buat pasukan kendalian Kim Pan-gon ketika ini.

Sungguhpun baru berusia 19 tahun, Arif mempamerkan kematangan untuk menggalas tugas besar di bawah barisan kejurulatihan baharu apabila kehadirannya jelas memberi impak yang luar biasa.

Pemain kelahiran Maran, Pahang ini bermula dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang Filipina yang menyaksikan pasukan negara menang dengan keputusan 2-0.

Pemain paling bernilai (MVP) musim lalu ini menjadi watak penting ketika gol kedua dihasilkan apabila gerakan lincahnya mengatur gerak telah membuka ruang buat Safiq Rahim melakukan satu lorongan cantk.

Menurut penganalisis sukan negara, Datuk Richard Scully, Arif antara pemain yang paling menyerlah sepanjang pasukan negara berada di Singapura.

‘Bagi saya, pemain yang menyerlah ialah Arif Aiman, Luqman Hakim dan Syafiq Ahmad. Saya harap mereka diberi lebih banyak masa bermain pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan.

Arif membentuk gandingan yang cukup baik bersama Akhyar dan juga Syafiq Ahmad di barisan serangan Malaysia selain bertindak cemerlang ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Singapura tempoh hari.

Pemain sayap pasukan JDT ini juga berjaya untuk membawa prestasi semasanya bersama kelab apabila telah menjaringkan 1 gol dan melakukan 4 bantuan gol.

Beliau juga kini menjadi pilihan utama Benjamin Mora untuk mengisi posisi kanan pasukan apabila gerakannya sering menjadi mimpi ngeri buat pertahanan lawan.

Arif sudah pasti mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya tatkala cabaran terbesar menanti pada kelayakan Piala Asia, Jun ini.