Dengan final Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei ini sebagai sasaran, jurulatih pasukan B-23 negara E. Elavarasan mahu membawa pasukan terkuat ke temasya serantau itu. Ini termasuk membawa bintang baru Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi.
Selain Arif Aiman, Mukhairi Ajmal (Selangor) dan Luqman Hakim Shamsudin (Njardvik) turut diintai memperkuat skuad B-23 negara. Secara teori, Elavarasan mahukan trio ini tetapi pada akhirnya, keputusan untuk melepaskan mereka bergantung kepada pasukan-pasukan masing-masing.
“Untuk Sukan SEA, kami tumpukan pemain ini bagi bersama skuad B-23. Ia bergantung kepad pasukan dan sudah pasti jurulatih kelab akan memberi keutamana untuk mewakili pasukan mereka, pemain itu pun ada kontrak.
“Ia juga terpulang kepada siapa yang kita akan panggil, tapi kalau mereka (kelab) tidak lepaskan pemain (bintang), kami ada kumpulan pemain yang besar dan sebab itu kami buat persiapan awal sekarang termasuk menguji pemain baharu.
“Sudah pasti kualiti pemain yang beraksi di Liga Super berbeza. Pemain bintang seperti Arif Aiman, ia bergantung kepada pengurusan kelab.
“Namun, jika mereka lepaskan pemain untuk sertai kami, ia satu perkata yang sangat bagus sebab dia ada kualiti dan keyakinan. Luqman Hakim pun kita sedang lihat, pada masa ini dia bermain di Iceland. Mungkin kalau ada ruang dia boleh sertai kami,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM hari ini.
Elavarasan mempunyai sebab tidak dapat memanggil Arif Aiman dan Mukhairi. Ini kerana JDT dan terbaru, Selangor mendedahkan mereka hanya akan melepaskan pemain jika kejohanan antarabangsa yang disertai jatuh dalam kalendar FIFA.
Tanpa kelibat pemain-pemain terbaik ini, sukar untuk melihat skuad B-23 negara mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Sudah pasti akan memberi kesan kepada persembahan pasukan jika anda tidak dapat set pemain terbaik, tapi saya yakin semua pasukan mahu kami dapatkan keputusan positif dan mereka juga akan memberi kerjsama yang baik,” tambahnya.