Pemain tengah Australia, Peter Makrillos dilaporkan semakin hampir menyertai pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC.
Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan pengurusan Merah Kuning semakin hampir memuktamadkan perpindahan pemain berdarah Australia-Greece berusia 30 tahun itu.
“Selangor difahamkan semakin hampir mendapatkan pemain tengah Australia, Peter Makrillos,” katanya di X.
“Kali terakhir beliau bermain untuk kelab Vietnam, Cong An Ho Chi Minth City dan pernah bermain untuk pasukan-pasukan Chungbuk Cheongju, Seoul E-Land dan Suwon Samsung Bluewings di Korea Selatan.”
Makrillos dilihat bukan asing dengan jurulatih Selangor, Kim Pan-gon. Ini kerana bekas pemain remaja Stoke City itu pernah mewarnai bola sepak Korea dengan mewakili tiga pasukan iaitu Chungbuk Cheongju, Seoul E-Land dan Suwon Samsung Bluewings.
Selain Pan-gon, kemahiran Makrillos juga diketahui pengarah teknikal Merah Kuning, Christophe Gamel. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama semasa beliau beraksi untuk kelab A-League, Macarthur FC.
Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, Makrillos berpotensi berentap dengan bekas rakan sepasukan dan pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos.
Ini kerana Endrick dilaporkan akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas meninggalkan Cong An Ho Chi Minh City. Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilaporkan berada dalam radar Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Selangor sudah memuktamadkan perpindahan lima pemain termasuk bekas pemain Star City FC, Eduardo Sosa dan pemain pertahanan Filipina, Jefferson Tabinas.