Bekas tonggak utama Imigresen, Eduardo Sosa sah menjadi pemain tengah baharu Selangor.
Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Gergasi Merah selepas satu musim bersama Imigresen, sekali gus membawa arah baharu dalam kancah Liga Malaysia buat tahun kedua.
Sepanjang bersama Imigresen, Eduardo Sosa mencatatkan 24 penampilan dalam 4 kejohanan berbeza iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA & MFL Challenge Cup. Selain itu, beliau berjaya meraih 11 gol dan 4 bantuan jaringan.
Perpindahan pemain tengah itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di semua platform rasmi mereka pada Rabu.
Menurut Eduardo Sosa, cita-cita tinggi serta visi jangka panjang Selangor FC menjadi antara faktor utama di sebalik keputusannya untuk menyertai kelab itu.
“Apabila Selangor menghubungi saya, saya terus dapat merasakan kesungguhan kelab ini terhadap projek dan hala tuju yang sedang dibangunkan. Saya melihat sebuah organisasi yang profesional, memiliki penyokong yang penuh semangat serta sebuah kelab yang sentiasa meletakkan standard yang tinggi untuk dirinya.
Sebagai seorang pemain, anda sentiasa mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang bertekad untuk bersaing dan meraih kejayaan. Itulah antara sebab utama saya memilih untuk menyertai Selangor FC,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman media sosial milik Selangor.
Selepas itu, Ketua Jurulatih Kim Pan-gon percaya Sosa memiliki segala kualiti yang diperlukan untuk memperkukuhkan identiti permainan menyerang Red Giants.
“Kami sentiasa mencari pemain yang mampu memberikan impak besar di bahagian serangan, dan Eduardo memiliki semua kualiti yang kami cari. Beliau merupakan pemain yang sangat kreatif, mempunyai visi permainan yang cemerlang serta keupayaan menghasilkan hantaran akhir yang tepat untuk membuka ruang dan mencipta peluang kepada rakan sepasukan,” ujar Kim Pan-gon dalam kenyataan yang sama.
Eduardo Sosa menjadi pemain kelima diikat Selangor FC, sekali gus merupakan pemain import kedua The Red Giants bagi musim 2026/2027 selepas Jefferson Tabinas.