Seorang pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam radar pasukan DPMM FC.
Perkara ini disahkan pengurusan kelab itu menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka baru-baru ini.
Meskipun identiti pemain tersebut tidak didedahkan, DPMM memaklumkan pemain itu merupakan pemain tempatan. Selain itu, kelab juga dalam proses mendapatkan seorang pemain pertahanan tempatan.
“DPMM FC dalam proses rundingan mendapatkan dua pemain Malaysia untuk musim hadapan.
“Seorang pemain tengah Johor Darul Ta’zim dan seorang pemain pertahanan dari sebuah kelab lain,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, dua pemain Liga Super juga berada dalam radar DPMM. Seorang daripadanya merupakan pemain import yang telah berpengalaman mewarnai saingan liga berkenaan.
Di samping itu, DPMM juga telah mendapatkan khidmat pemain sayap Guatemala, Oscar Santis untuk kempen musim hadapan.
Selain Santis, kelab itu juga mengintai khidmat penyerang Ghana, Albert Amoah. Amoah merupakan bekas peledak Asante Kotoko sebelum menyertai kelab Libya, Al-Ahly.
Penyerang berusia 24 tahun itu sudah meledakkan tujuh gol dalam 16 penampilan bersama Asante Kotoko untuk musim ini selepas kembali secara pinjaman.