Arthur Papas Label Dion Cools Pemain Serba Boleh
MakanBola
Cerezo Osaka

Jurulatih Cerezo Osaka, Arthur Papas menganggap orang besi Harimau Malaya, Dion Cools sebagai pemain serba boleh.

Pandangan itu dibuat jurulatih Australia itu apabila ditanya sebab Cerezo mendapatkan pemain pertahanan berusia 29 tahun itu.

Papas menyifatkan Cools bukan saja mampu beraksi sebagai bek kanan. Malah, beliau juga mampu beraksi sebagai bek tengah atau pemain sayap jika diperlukan.

Bekas jurulatih Buriram United itu percaya hal ini berlaku kerana Cools memiliki kepantasan bila berlari di atas padang.

“Saya gunakan beliau bukan saja sebagai pemain bek tetapi juga sebagai bek tengah dan pemain sayap,” katanya kepada akhbar Sponichi Annex.

“Beliau memiliki kepantasan dan saya gembira kita membawa beliau ke sini pada masa yang sesuai.”

Cools menyertai Cerezo dari Buriram pada awal Jun lalu. Bekas pemain FC Midtjylland itu diperkenalkan kepada penyokong pada aksi pertama playoff J. League Cup menentang Yokohama FC.

Papas bukan asing dengan Cools kerana pernah melatih beliau semasa bersama Thunder Castle. Selain beliau, Cerezo turut merekrut Kyohei Yoshino dari Daegu FC.

Cools berpeluang membuat penampilan pertama apabila Cerezo turun menentang Tokyo Verdy pada 21 Jun ini.